KUALA TERENGGANU: Seorang suami sanggup menceraikan isterinya kerana wanita itu tekad membuang sebelah payudaranya untuk mengelak sel kanser terus merebak kira-kira tujuh tahun lalu.
Lelaki tersebut bertindak kejam kerana tidak membenarkan isterinya membuang sebelah payudara tersebut walaupun telah diberitahu pembedahan tersebut mampu menyelamatkan nyawa isterinya.
Kisah tersebut didedahkan seorang wanita yang mahu dikenali Aishah, 54, ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu di sini, hari ini.
Mengimbas semula kisah sedih tersebut, wanita itu berkata, dia bersyukur kerana bertindak bijak mengutamakan kesihatannya berbanding nafsu suami semata-mata.
“Ketika itu, kakak menghidap kanser tahap empat dan doktor mengesyorkan agar pembedahan segera dibuat kerana dapat menyelamatkan nyawa.
“Malang sekali kerana suami kakak tidak bersetuju ketika itu kerana dia mahu kakak mencuba kaedah tradisional kerana tidak mahu kakak buang sebelah payudara.
“Setelah berfikir panjang, kakak nekad mengikut nasihat doktor namun suami telah menceraikan kakak selepas itu sedangkan sokongan daripada suami sangat diperlukan pada saat-saat sukar tersebut,” katanya.
Ibu kepada empat anak itu kini tinggal bersama anak keduanya dan mengakui kehidupannya kini tenang dan semakin gembira selepas diceraikan kerana mendapat sokongan berterusan dari rakan senasib.
Katanya, bantuan dari kerajaan untuk membolehkan isteri menuntut nafkah anak-anak memberinya semangat untuk mendapatkan hak cahaya matanya demi kehidupan yang lebih sempurna selepas ini.
Dalam pada itu, seorang lagi wanita yang mahu dikenali Imah, 47, mendakwa, bekas suaminya sentiasa memandang remeh bayaran nafkah untuk tiga anaknya dan pernah tertunggak sehingga RM10,000.
“Kami bercerai ketika anak-anak masih kecil menyebabkan saya terpaksa melakukan pelbagai kerja untuk menampung perbelanjaan keluarga.
“Dengan sokongan keluarga dan rakan, saya bangkit semula perlahan-lahan untuk menjadi wanita yang kuat dan tahu hak anak-anak mengikut perundangan Islam.
“Saya berterima kasih kepada Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu yang sangat prihatin dengan nasib ibu tunggal dan semua yang berlaku ini memberi hikmah tersendiri dalam kehidupan,” katanya. – UTUSAN