IR4.0, AI lonjak sektor agrikomoditi

IR4.0, AI lonjak sektor agrikomoditi

FADILLAH Yusof (dua dari kiri) beramah mesra dengan sebahagian pekebun kecil getah ketika melakukan lawatan kerja ke Baling, Kedah. Kementerian Perladangan dan Komoditi berjaya mencapai pelbagai petunjuk prestasi utama (KPI) dalam tempoh setahun termasuk kenaikan Paras Harga Pengaktifan (PHP) menerusi Insentif Pengeluaran Getah (IPG). – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) terus memperkasa pengenalan teknologi Revolusi Industri Keempat (IR4.0) dan penyepaduan teknologi termaju seperti internet kebendaan (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan analisis data besar (big data) bagi melonjakkan sektor agrikomoditi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, inisiatif itu penting bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan kemampanan di sektor agrikomoditi dalam pemodenan serta mengoptimumkan amalan pertanian.

Kata beliau, aspek yang paling penting dalam menjayakan usaha berkenaan adalah melalui latihan dan pembangunan kemahiran berterusan, justeru, kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan program literasi digital iaitu dengan melatih pekebun kecil serta pekerja ladang.

Katanya, langkah itu bagi memastikan mereka boleh menggunakan dan mendapat manfaat daripada teknologi termaju yang diperkenal di ladang dengan lebih berkesan.

“Bagi tahun 2024, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM30 juta dalam usaha menggalakkan penggunaan teknologi automasi, mekanisasi dan elemen-elemen IR4.0 di sektor agrikomoditi.

“Penyepaduan teknologi IR4.0 dalam sektor agrikomoditi adalah penting dalam menjadikannya lebih mampan, cekap dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran semasa seperti perubahan iklim serta turun naik pasaran.

“Selain itu, terdapat cabaran lain yang perlu ditangani berkaitan dengan kos, infrastruktur dan keperluan untuk pembangunan kemahiran dalam kalangan tenaga kerja tempatan bagi merealisasikan sepenuhnya manfaat transformasi teknologi ini,” katanya.

Penyepaduan teknologi termaju

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, penyepaduan teknologi termaju dapat membawa perubahan pengurusan rantaian bekalan yang boleh meningkatkan ketelusan dan kebolehkesanan serta memastikan integriti produk daripada ladang kepada pengguna.

Umpamanya, kata beliau, melalui pertanian jitu, sensor boleh diletakkan di setiap ladang untuk mengumpul data berkaitan keadaan tanah, taburan cuaca dan kesihatan tanaman.

Ini membolehkan pemantauan dan kawalan tanaman dapat dibuat dengan lebih cepat dan tepat.

“Teknik pertanian jitu ini juga dapat membantu meningkatkan amalan cekap tenaga dan menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui serta mengurangkan kesan alam sekitar terhadap operasi perladangan.

“Seterusnya, pembelajaran mesin juga adalah salah satu elemen AI. Algoritma pembelajaran mesin dijana supaya dapat membantu dalam meramalkan masa penuaian yang optimum, mengenal pasti corak penyakit dan mengoptimumkan jadual pengairan,” katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata, kementeriannya terus komited mempertingkat kerjasama global dan hubungan diplomasi serantau bagi memperkukuh lagi eksport agrikomoditi untuk manfaat negara serta rakyat.

Capai KPI

Beliau berkata, kementeriannya juga berjaya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) dalam tempoh setahun menerusi lima program utama yang dijadikan sebagai indikator.

ANTARA inisiatif yang dilaksanakan.

Pencapaian itu antaranya berjaya memperkukuh nilai eksport agrikomoditi berjumlah RM117.2 billion sehingga September tahun ini serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dalam sektor agrikomoditi dengan melahirkan 9,760 tenaga kerja mahir dalam sektor berkenaan.

Seterusnya, menerusi pembangunan industri agrikomoditi yang mampan selepas 94.89 peratus keluasan tanaman sawit mendapat pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) serta peningkatan enam pensijilan baharu Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) bagi Unit Pengurusan Hutan (FMU).

KPI setahun juga berjaya mencapai sasaran menerusi Insentif Pengeluaran Getah (IPG), kerajaan menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) IPG daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan berjumlah RM350 juta bagi membantu pekebun kecil yang terbabit dalam sektor getah; selain mengadakan tiga siri Program Trek Komoditi KPK 2023 di Zon Utara pada Jun, Zon Tengah (Ogos) dan Siri Jelajah Sarawak pada November lepas.

“Secara keseluruhan sehingga November 2023, program-program tersebut mencapai sasaran ditetapkan. Malah, terdapat nilai tambah yang terhasil menerusi program yang diadakan sepanjang tahun ini. Antaranya adalah menerusi Siri Jelajah Trek Komoditi KPK 2023 yang diadakan, kementerian mendapat pelbagai cadangan dan maklum balas daripada lapangan.

“Kejayaan mengadakan libat urus dengan pihak Kesatuan Eropah (EU) dan penubuhan Joint Task Force (JTF) berkaitan European Union Deforestation Regulation (EUDR) melibatkan KPK, Kementerian Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia,” katanya.

Antara pembaharuan yang diperkenal:

1.Sektor Sawit
• Program Insentif Tanam Semula Sawit.
• Kajian Penstrukturan Semula Sistem Percukaian Industri Sawit Malaysia.

2. Sektor Getah
• Kenaikan Paras Harga Pengaktifan (PHP) Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram. Setelah mendengar keluhan para pekebun getah, kerajaan bersetuju menaikkan paras harga pengaktifan IPG daripada RM2.70 kepada RM3 sekilogram.
• Peningkatan Hasil Pengeluaran Getah Melalui Penggunaan Gas Stimulan (Projek Rintis).
• Syarikat Tujuan Khusus (SPV)

3. Sektor Kayu-Kayan
• Pemerkasaan Perkhidmatan Pensijilan Produk Kayu Bagi Pengukuhan Pasaran
l• Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) 2.0

4. Sektor Koko
• Pemulihan Kebun Koko di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak
• Pembangunan Piawaian Koko Premium Malaysia (MSPC)
• Projek Kerjasama Pembangunan Tanaman Integrasi Koko di Madai

5. Sektor Lada
• Program Pembangunan Huluan Industri Lada
• Pembangunan Pengeluaran Lada Premium
• Menaiktaraf Kemudahan Pemprosesan Lembaga Lada Malaysia Di MPB Kuching dan Sarikei.

6. Sektor Kenaf
• Pembangunan Rantaian Pengeluaran Kenaf di Sabah dan Sarawak.
• Program Ladang Kluster Komersial.

7. Sektor Biobahan Api, Biojisim dan Biogas
• Program Penggunaan B100.
• Program Pengumpulan UCO Domestik (minyak masak terpakai).
• Pelan Tindakan Biojisim Negara

8. Kajian Sektor Baharu
• Sektor Karbon – Kementerian menyedari terdapat peluang bagi meningkatkan pelaksanaan aktiviti atau projek karbon dalam Sektor Agrikomoditi. Kredit karbon yang dijana melalui aktiviti atau projek karbon dalam Sektor Agrikomoditi boleh dijual kepada syarikat atau entiti dalam sektor-sektor lain yang menghadapi kekangan untuk mengurangkan pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG).

9. Sektor Kelapa

* Cadangan untuk menjadikan Sektor Kelapa sebagai salah satu komoditi utama Negara.

10. Peluasan Pasaran – melalui misi-misi ke luar negara Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom (UK), Kenya, India, China.

11. Hari Agrikomoditi Negara (HAKN)

UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN