Inovasi Litar Waqaf

Inovasi Litar Waqaf permudah guru, murid ingat fungsi tanda waqaf al-Quran

INOVASI Litar Waqaf bertujuan membantu guru dan murid dalam mengingat fungsi tanda waqaf bagi pembacaan ayat al-Quran yang betul sekali gus memelihara makna al-Quran daripada diselewengkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Inovasi Litar Waqaf yang dicipta seorang guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sik Dalam, Sik, Kedah dapat membantu murid dalam proses mengingat fungsi tanda waqaf bacaan ayat al-Quran dalam masa singkat dan betul.

Inovasi yang diilhamkan oleh salah seorang penerima Anugerah Guru Inovatif Kumpulan (Prasekolah Hingga Menengah) pada Anugerah Hari Guru 2023 itu juga dapat merangsang sifat daya saing selain mengelakkan aktiviti Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) yang membosankan.

Guru tersebut,  Rozita Abdullah berkata, matlamat utama inovasi Litar Waqaf adalah membantu guru dan murid dalam mengingat fungsi tanda waqaf supaya dapat membaca ayat al-Quran mengikut tanda waqaf yang betul.

Katanya, inovasi itu melibatkan satu litar mini kereta terdiri daripada enam tanda waqaf yang direka bentuk menjadi laluan untuk meneruskan perjalanan, berhenti atau membuat pilihan menyamai fungsi tanda waqaf dalam bacaan ayat al-Quran.

“Inovasi ini berunsurkan fun learning dan bersifat interaktif kerana mendapat respon serta-merta menerusi nyalaan lampu.

“Ia dapat merangsang kognitif murid melalui konsep analogi iaitu membuat perbandingan yang memperlihat ciri-ciri persamaan antara ciri litar dan fungsi tanda waqaf,” katanya kepada Utusan Malaysia.

ROZITA ABDULLAH

Rozita berkata, perjalanan kereta mini dalam litar berbentuk enam tanda waqaf menunjukkan kereta boleh berhenti atau meneruskan perjalanan sekali gus membantu murid untuk mengingat fungsi tanda waqaf.

“Ia memainkan peranan seperti yang dijangka di mana murid mengingat fungsi tanda waqaf dalam jangka masa singkat. 

“Mereka juga terdidik secara implisit melalui pembelajaran kolaboratif iaitu nilai bertolak ansur, kepemimpinan, bekerjasama dan membuat keputusan,” katanya.

Semasa  Anugerah Hari Guru 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Mei lalu, Rozita bersama dua lagi guru SK Paya Terendam, Ahmad Zaki Osman dan Mohammad Kamal Afzan Ramli merangkul Anugerah Guru Inovatif Kumpulan (Prasekolah Hingga Menengah) menerusi pembangunan aplikasi Smart IQ-One yang membantu murid-murid yang mempunyai masalah di tahap Iqra satu.

Mengulas tentang idea asal, Rozita berkata, inspirasi untuk menghasilkan ciptaan itu diperoleh melalui pengalaman PdPc bidang al-Quran di dalam kelas yang mana murid tidak mengingat fungsi tanda waqaf serta gagal membaca ayat al-Quran mengikut tanda waqaf yang betul.

“Inovasi ini sangat bermanfaat untuk membantu murid membaca ayat al-Quran dengan mengikut tanda waqaf sekali gus memelihara makna al-Quran daripada diselewengkan.

“Harapan saya, inovasi ini dapat dijadikan bahan pembelajaran yang sangat bermanfaat khususnya dalam memartabatkan ayat suci al-Quran sebagai panduan hidup,” katanya.

Sementara itu, beliau menyatakan penghargaannya kepada Guru Besar SK Sik Dalam, Idham Nasri Jaafar dan Pejabat Pendidikan Daerah Sik atas sokongan yang diberikan terhadap usahanya itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN