DIUJI dengan hilang ingatan secara tiba-tiba, membuatkan seorang warga emas hampir pasrah dalam kehidupan.
Berasal dari Perak, Sukri berkata, ketika diuji, beliau sampai satu tahap tidak mengenali orang lain serta urusan harian terpaksa dibantu isterinya.
“Sampai baca al-Fatihah pun tak boleh, berzikir pun jadi lupa termasuk memandu kereta.
“Kalau solat, isteri saya perlu duduk di sebelah ajar pergerakan satu persatu. Sedangkan, semasa zaman muda saya pernah khatam al-Quran,” ujarnya.
Selepas menyertai kelas mengaji secara dalam talian, Sukri berkata, secara beransur-ansur ingatannya kembali pulih dan urusan harian dapat dilakukan sendiri.
“Saya ambil kelas asas tajwid sebab banyak perkara asas sudah lupa, kadang-kadang sampai sangkut baca al-Quran.
“Selepas tiga hingga empat bulan, ingatan saya kembali pulih dan sudah boleh memandu kereta sendiri. Mungkin ini adalah asbab al-Quran melalui kaedah pembelajaran yang dapat merangsang fungsi otak semula,” katanya.
Ditanya pengalaman menyertai kelas mengaji online, katanya, beliau berasa seronok kerana dapat belajar di mana-mana lokasi tanpa mengira waktu dan tempat.
“Kelebihan online ini kita boleh duduk dalam kereta dan dapat sentiasa buka balik video mengaji.
“Sejak bulan puasa masa PKP, banyak manfaat yang saya dapat melalui kelas online. Saya dan isteri dapat menonton semula video setiap hari serta membantu pembacaan kami,” kongsinya.