Indeks Kesejahteraan Rakyat meningkat 2.5 peratus pada 2022

Indeks Kesejahteraan Rakyat meningkat 2.5 peratus pada 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) pada 2022 meningkat 2.5 peratus kepada 121.2 mata berbanding 118.3 mata pada 2021, menurut Laporan IKRM yang diterbitkan hari ini. 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peralihan negara ke fasa endemik yang bermula April 2022 dengan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat memberi impak positif kepada kedua-dua subkomposit yang diukur. 

Katanya, dua subkomposit kesejahteraan iaitu kesejahteraan ekonomi dan kesejahteraan sosial bagi mengukur tahap kesejahteraan rakyat Malaysia menunjukkan peningkatan pada 2022.

“Subkomposit kesejahteraan ekonomi merekodkan peningkatan 3.6 peratus pada 2022 kepada 130.0 mata berbanding 125.5 mata pada 2021. 

“Subkomposit kesejahteraan sosial pula meningkat 1.8 peratus kepada 116.4 mata berbanding 114.3 mata pada tempoh yang sama,” katanya dalam satu kenyataan. 

Melalui laporan IKRM,  subkomposit kesejahteraan ekonomi terdiri daripada lima komponen iaitu pengangkutan, komunikasi, pendidikan, pendapatan dan pengagihan dan persekitaran kerja. 

Subkomposit kesejahteraan sosial pula meliputi sembilan komponen iaitu perumahan, hiburan dan rekreasi, keselamatan awam, penyertaan sosial, tadbir urus, kebudayaan, kesihatan, alam sekitar dan keluarga.

Mohd. Uzir berkata, pertumbuhan positif kesejahteraan rakyat Malaysia disumbangkan oleh peningkatan 11 daripada 14 komponen ekonomi dan sosial pada 2022. 

Katanya, tiga komponen tertinggi yang menyumbang kepada peningkatan IKRM adalah hiburan dan rekreasi (20.8 peratus), pengangkutan (8.0 peratus) dan kebudayaan (6.5 peratus).

“Berdasarkan penemuan indeks subkomposit kesejahteraan ekonomi, kesemua lima komponen mencatatkan pertumbuhan positif pada 2022 iaitu pengangkutan (8.0 peratus), pendapatan dan pengagihan (5.0 peratus), pendidikan (4.1 peratus), komunikasi (0.5 peratus) dan persekitaran kerja (0.4 peratus). 

“Dapatan indeks subkomposit kesejahteraan sosial pula, enam daripada sembilan komponen merekodkan pertumbuhan positif disumbangkan oleh hiburan dan rekreasi (20.8 peratus), kebudayaan (6.5 peratus), alam sekitar (3.4 peratus), perumahan (1.6 peratus), kesihatan (1.3 peratus) dan keluarga (0.8 peratus). 

“Komponen hiburan dan rekreasi meningkat dengan ketara berikutan fasa peralihan endemik yang berkuat kuasa dari April 2022 di mana aktiviti pelancongan, hiburan dan rekreasi kembali rancak seperti keadaan sebelum pandemik,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya