PETALING JAYA: Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) mencapai sasaran dan matlamat sepenuhnya yang ditetapkan sepanjang tahun ini.
Pengerusinya, Datuk R. Ramanan berkata, pencapaian itu juga menandakan kali pertama dana yang disalur untuk agensi itu diguna sepenuhnya sejak penubuhannya.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, Mitra pada tahun ini membentang rangka kerja baik dan kukuh untuk mengendalikan agensi itu bergerak ke hadapan bagi sesiapa yang mengambil alihnya nanti.
“Peningkatan komuniti India B40 (golongan berpendapatan rendah) di negara ini adalah yang terpenting dan Mitra mesti meneruskan usaha memperkasa mereka melalui pendidikan sewajarnya dan peluang pekerjaan bergaji tinggi.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menyebut semua dana yang bergerak ke hadapan harus disalur terus kepada penerima akhir dan bukannya melalui pembiayaan NGO pihak ketiga untuk mengelakkan salah guna dana.
“Kami berharap sesiapa yang mengetuai agensi itu (selepas ini) memahami tanggungjawab berat mereka terhadap masyarakat India dan pemerkasaan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, kata Ramanan, selepas dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa itu, misi dan fokus utama pasukan adalah untuk membersih imej Mitra dan menjayakan program berimpak tinggi untuk kemajuan masyarakat.
“Itulah sebabnya saya berazam mengukuhkan sistem penyampaian Mitra, terutama dalam aspek integriti dan ketelusan,” katanya.
Mitra pada mulanya dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic) dan dilancar pada 2013 oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ia pada asalnya dilancarkan dengan tujuan untuk meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dalam kalangan masyarakat India.
Sedic dibubarkan apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan kemudian dihidupkan semula sebagai Mitra di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Selepas kerajaan PH tumbang, Mitra diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
Pada awal 2021, isu dana Mitra menjadi tumpuan berikutan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terlibat dalam penyelewengan geran yang diperuntukkan kepada unit itu.
Sebanyak 337 syarikat, organisasi dan NGO dikenal pasti telah menerima geran daripada Mitra antara 2019 dan 2021 dengan jumlah dianggarkan kira-kira RM203 juta.
Pada 25 November lalu, Mitra menerima pemakluman rasmi penarafan berisiko ‘rendah’ oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tahun 2023 dalam pengurusannya yang sebelum ini terpalit dengan isu penyelewengan.
Pemakluman itu dibuat secara rasmi kepada Mitra melalui satu surat yang ditandatangani Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA), Datuk Nor Azmi Karim pada 22 November lalu.
Pada 20 September lalu, Mitra memaklumkan membelanjakan kesemua dana RM100 juta sebagaimana diperuntukkan kerajaan dalam Belanjawan 2023.
Ramanan berkata, pencapaian itu dilihat baik berbanding tahun sebelum ini apabila Mitra hanya berjaya menghabiskan 63 peratus daripada keseluruhan RM100 juta yang diperuntukan kerajaan ketika itu.
Katanya, pada 2016 cuma 35 peratus dibelanjakan; 57 peratus (2017); satu peratus (2018); 58 peratus (2019) diikuti 63 peratus (2020), 73 peratus (2021) dan 63 peratus pada tahun lalu. – UTUSAN