KOTA KINABALU: Iltizam yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menghapuskan gejala rasuah dan salah guna kuasa antara perkara yang harus dinilai bagi tempoh setahun pemerintahan kerajaan perpaduan.
Pentadbiran yang dipimpin Anwar boleh disifatkan sedikit berjaya dalam mengurangkan dan meminimumkan masalah yang telah lama menghambat pentadbiran negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Romzi Ationg berkata, sekalipun keadaan ekonomi kurang memberangsangkan namun, kerajaan Madani tetap berusaha menunaikan tanggungjawab memacu pembangunan negara.
Malah, jika dilihat lantikan Timbalan Perdana Menteri daripada Borneo untuk membincangkan tentang usaha memartabatkan dan mendekati Sabah dan Sarawak.
“Ini membuktikan Perdana Menteri berusaha menyelesaikan isu MA63. Namun, perlu diakui masih terlalu banyak yang perlu Perdana Menteri untuk menjadikan MA63 dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Pada masa sama, masih terlalu banyak kekangan yang wajar diambil perhatian oleh kerajaan perpaduan dan diharap Perdana Menteri berjaya menangani kekangan yang ada.
Romzi juga berharap Anwar memberi pertimbangkan pelbagai aduan akar umbi seperti keperluan pembinaan Jambatan Labuan dan penyelesaian masalah kemiskinan di kawasan utara Sabah.
Sementara itu, Penyelidik Kajian Elektoral dan Geopolitik Borneo UMS, Prof. Madya Dr. Syahruddin Ag Ahmad berkata, program-program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Jualan Rahmah, Menu Rahmah yang dilaksanakan dilihat memberi impak dan imej yang baik kepada kerajaan perpaduan.
“Program yang bersifat strategik kepada golongan berpendapatan rendah ini telah secara relatif, memberikan kelegaan kepada rakyat yang sedang berhadapan dengan situasi tidak menentu akibat gelagat ekonomi serantau dan global serta impak daripada kejatuhan nilai ringgit.
“Menerusi kedua-dua program yang dikendalikan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ini, rakyat dapat dibantu pada tahap paling minimum dari segi kos pembelian barangan keperluan,” katanya.
Untuk Sabah dan Sarawak pula, langkah menyelesaikan isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara perkara menjadi tumpuan dan keutamaan Perdana Menteri.
Syahruddin berkata, pemberian kuasa autonomi kawal selia elektrik kepada kerajaan negeri Sabah akan membolehkan kerajaan menjana pendapatan dengan sumber tenaga sendiri.
Jelas beliau, permintaan terhadap hak negeri Sabah berkaitan 40 peratus hasil yang dikutip kerajaan Persekutuan selaras Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan juga perlu dipertimbangkan untuk dipenuhi.-UTUSAN