Ikan baung laris di musim tengkujuh - Utusan Malaysia

Ikan baung laris di musim tengkujuh

MOHD. Zulkairi Abdul Rahman menjual ikan baung di gerainya di Kampung Che Lijah, Dungun, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Musim tengkujuh memberi limpahan rezeki kepada seorang peniaga ikan sungai apabila lebih 120 kilogram ikan baung yang dijualnya di Kampung Che Lijah, di sini, ‘licin’ dibeli orang ramai hanya dalam tempoh satu jam.

Mohd. Zulkairie Abdul Rahman, 50, yang tinggal di Kampung Durian Mentangau, berkata, ikan baung sungai yang ditangkap menggunakan bubu dan pukat di Sungai Paka, mendapat permintaan tinggi setiap kali musim tengkujuh.

“Alhamdulillah, memang setiap kali musim tengkujuh ikan sungai yang saya tangkap laris dijual.

“Setiap hujung minggu, saya dapat menjual lebih 100 kilogram ikan sungai dan antara yang mendapat permintaan tinggi ialah ikan baung,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini, hari ini.

Mohd. Zulkairie yang dibantu menantunya, Mohd. Sabri Kamaruddin, 30, berkata, dia menjual ikan baung dengan harga RM30 untuk satu kilogram.

“Kami hanya berniaga tiga hari seminggu iaitu pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Biasanya kami dapat RM300 hingga RM400 sehari,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Sabri berkata, selain ikan sungai, mereka turut menjual ikan patin dan tilapia yang ternak secara dalam sangkar.

“Ikan patin dan tilapia juga mendapat permintaan tinggi, namun tidak selaris ikan baung sungai.

“Ikan tilapia kami jual dengan harga RM16 untuk sekilogram manakala ikan patin pada harga RM15,” katanya.

Sementara itu, salah seorang peminat ikan sungai, Azri Zainal, 40, dari bandar Dungun berkata, dia lebih memilih untuk membeli ikan sungai berbanding ikan laut setiap kali musim tengkujuh kerana ikan sungai lebih segar.

“Musim ini, nak dapat ikan laut yang segar agak payah sebab nelayan tak dapat turun ke laut. Saya lagi suka makan ikan sungai seperti ikan baung masak tempoyak dan ikan patin,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya