IJN perkenal CRRC, klinik jantung

IJN perkenal CRRC, klinik kesihatan jantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institut Jantung Negara (IJN) menubuhkan Klinik Pengurangan Risiko Kardiovaskular (CRRC) bagi menyokong pesakit dalam menguruskan kesihatan jantung di negara ini.

Ketika ini, penyakit jantung iskemia kekal penyebab utama kematian di dunia, dengan statistik Jabatan Perangkaan pada 2022 menunjukkan sebanyak 13.7 peratus kematian di Malaysia disebabkan penyakit tersebut.

Malah, individu yang berusia 35 tahun ke bawah juga berisiko terkena serangan jantung selain daripada risiko disebabkan sejarah keturunan keluarga dan mempunyai tabiat merokok.

Pakar Kardiologi CRRC, Dr. Thum Chan Ho berkata, klinik ini ditubuhkan khusus untuk menangani masalah kesihatan yang boleh meningkatkan risiko penyakit jantung seperti diabetes, kolesterol, darah tinggi dan obesiti.

Dr Thum Chan Ho

“Ada banyak perkara yang boleh meningkatkan risiko penyakit jantung seperti kencing manis tidak terkawal, pengambilan gula tidak terkawal, tekanan darah tidak terkawal dan juga cara hidup yang tidak sihat. Semua ini boleh meningkatkan risiko penyakit jantung,” katanya.

Disebabkan itu, katanya, CRRC menyasarkan untuk membantu pesakit mengenal pasti dan mengatasi risiko agar dapat menguruskan keadaan kesihatan diri dan mengurangkan risiko komplikasi kesihatan menjadi lebih buruk.

“Kebanyakan pesakit yang datang ke hospital sudah terlambat untuk dirawat. Mereka sudah ada serangan jantung dan masuk ke hospital kerana serangan jantung, angin ahmar dan sebagainya.

“Jantung mereka sudah ada kerosakan kekal dan tidak dapat diperbaiki lagi. Jadi, CRRC mengenal pasti masalah yang boleh meningkatkan risiko serangan jantung dengan awal dan merawatnya dengan lebih awal dan cepat untuk mengelakkan serangan jantung, ini sasaran kita iaitu pencegahan dan mengelakkan daripada sesuatu penyakit terjadi,” katanya.

Jelasnya, CRRC juga menjalankan pencegahan sekunder iaitu mengurangkan risiko kepada mereka yang sudah terkena serangan jantung.

“Apabila seseorang mendapat serangan jantung, risiko untuk mendapat serangan jantung atau strok yang kedua adalah sangat-sangat tinggi dan memerlukan rawatan yang lebih rapi berbanding orang biasa,” katanya.

Melalui CRRC, pesakit akan digandingkan dengan pakar perubatan bagi membantu aspek pemeriksaan kesihatan rutin, rejimen pemakanan seimbang, senaman rutin dan kaedah menghadapi tekanan.

“CRRC bukan dijalankan oleh seorang doktor sahaja tetapi merangkumi pasukan perubatan yang mempunyai pelbagai kepakaran iaitu pakar pemakanan, fisioterapi dan jururawat terlatih dalam risiko penyakit jantung yang dapat membantu mengenal pasti cara hidup lebih baik dan mereka boleh memberi nasihat yang setimpal untuk membantu para pesakit.

“Doktor, jururawat terlatih, pakar kesihatan bersekutu termasuk pakar psikologi juga meluangkan lebih banyak masa untuk membantu pesakit mengenalpasti dan memahami masalah kesihatan mereka. Rawatan yang diberikan bukan generik tetapi dipilih khusus berdasarkan keadaan kesihatan para pesakit,” kata Dr. Chan Ho.

Walaupun CRRC beroperasi dan ditubuhkan oleh IJN, klinik ini tetap menawarkan perkhidmatan pada kadar bayaran yang berpatutan.

“Kita akan mengenal pasti apa masalah pesakit dan membantu mengoptimasikan kesihatan mereka bergantung kepada keadaan kesihatan dan kemampuan mereka.

“Walaupun kita mempunyai teknologi dan perubatan yang canggih untuk menangani risiko kesihatan jantung yang sukar dirawat dengan kaedah biasa, kami tetap akan mengambil kira kemampuan pesakit supaya mereka mendapat rawatan yang terbaik tanpa terlalu membebankan mereka dari segi kos. Jadi, jangan bimbang tentang kos dulu, tapi paling penting bimbangkan tentang kesihatan,” katanya.

Justeru, sebagai usaha untuk memulakan kehidupan yang lebih sihat, beliau menyarankan orang ramai untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan di CRRC di samping mengamalkan gaya hidup yang aktif, pemakanan yang sihat bersama mendapat rehat yang secukupnya setiap hari.

“Sekiranya anda berusia 35 tahun ke atas ataupun lebih muda, jika keluarga ada banyak masalah jantung atau strok, lebih baik jalani pemeriksaan di CRRC supaya kita dapat tahu masalahnya bagi memastikan tahap kesihatan mereka pada tahap paling optimum,” katanya.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan khidmat CRRC boleh menghubungi 03-2617 8844 untuk sesi temu janji atau hadir ke IJN di Kuala Lumpur atau boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui media sosial IJN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya