PETALING JAYA : Kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang ditemukan maut dibunuh pada 6 Disember lalu sempat bersama ibu dan bapanya kali terakhir pada 4 Disember lalu sehari sebelum kehilangannya.
Ibunya, Ismanira Abdul Manaf, 28, dilihat memuat naik status di Instagram miliknya meluahkan kenangan bersama anak sulungnya itu.
Dia memuat naik empat gambar dalam bentuk kolaj memaklumkan mereka sekeluarga keluar bersama Allahyarman pada Isnin lalu.
“Waktu ini Isnin minggu lepas, 4 Disember, ini kali terakhir mommy dan daddy dapat bawa abang jalan-jalan.
“Abang dan adik suka sangat jalan-jalan… dapat pusing-pusing pusat beli-belah dan makan-makan.
“Itu memang happy sangat-sangatlah dua beradik ni, penat ke sibuk macam mana pun mommy daddy akan cuba jugak bawa abang dan adik jalan-jalan…happy sangat abang waktu ni,” luahnya dalam hantaran terbaru.
Siasatan kematian kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, sudah memasuki hari ketujuh namun masih tidak menemukan sebarang petunjuk positif.
Pencarian bukti diteruskan anggota Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini di kawasan sekitar kediaman Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai. – UTUSAN