Ibu didakwa abai, tinggalkan anak dalam kereta hingga maut

Ibu didakwa abai, tinggalkan anak dalam kereta hingga maut

NUR Sari Fardiana Mohd. Amran dibawa oleh anggota polis ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi menghadapi pertuduhan mengabai anak perempuannya dalam kereta. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabai anak perempuannya berusia dua tahun dengan meninggalkannya dalam kereta sehingga maut, bulan lalu.

Nur Sari Fardiana Mohd. Amran, 38, didakwa melakukan pengabaian terhadap mangsa di hadapan sebuah rumah Jalan PJU 1A/25, Ara Damansara di sini antara pukul 8 pagi dan 3.15 petang pada 8 November lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang jaminan.

Bagaimanapun peguam Datuk Hanif Hassan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin itu kerana jaminan yang ditawarkan pihak pendakwaan adalah tinggi.

“Akibat kejadian ini anak guam pernah trauma selama sebulan. Sepanjang siasatan dijalankan tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa, jadi pohon satu jumlah jaminan rendah diberikan,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Dr. Syahliza Warnoh membenarkan ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

“Tertuduh juga dilarang menganggu saksi-saksi pendakwaan,” kata hakim itu sebelum menetapkan 30 Januari tahun depan bagi sebutan kes dan serahan dokumen.

Pada 9 November lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak dua tahun ditemui tidak sedarkan diri selepas ditinggalkan lebih tujuh jam dalam kereta di kawasan perumahan Ara Damansara, di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd. Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada wanita berusia 30-an yang memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri pada pukul 3.49 petang.

Hasil siasatan lanjut mendapati pada pukul 7 pagi hari kejadian, ibu kanak-kanak berkenaan menghantar dua anaknya ke sekolah berhampiran, seterusnya memandu ke tadika berhampiran untuk menghantar mangsa.

Sampai di tadika, ibu mangsa berhenti sekejap untuk menyelesaikan urusan perniagaan dalam talian sehingga terlupa menurunkan mangsa di lokasi.

“Ibu mangsa terus balik ke rumah dan hanya menyedari mangsa berada dalam kereta pada pukul 3.35 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri,” ujarnya.

Jelas Mohamad Fakhrudin, bapa kanak-kanak itu membuat panggilan kecemasan serta memberi rawatan awal kepada mangsa sehingga pihak ambulans dan polis tiba di tempat kejadian.  Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN