Ibu dalam berpantang pangku bayi redah banjir berpindah - Utusan Malaysia

Ibu dalam berpantang pangku bayi redah banjir berpindah

SITI Suhailiani Nordin memangku bayinya sementara menunggu untuk berpindah selepas kediaman mereka dilanda banjir di Kampung Buluh, Bandar Permaisuri, Setiu, semalam. - UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Seorang ibu yang sedang berpantang terpaksa meredah banjir sedalam kira-kira satu meter untuk berpindah selepas kediaman mereka di Kampung Buluh, Bandar Permaisuri di sini dilanda banjir semalam.

Siti Suhailiani Nordin, 40, yang kini sedang berpantang 36 hari anak ke tujuhnya, Mohd Haikal Affnan Mohd. Khairul dibantu suaminya, Mohd. Khairul Anuar, 45, untuk dibawa ke rumah saudaranya di berdekatan kira-kira pukul 1 petang.

Menurutnya, dia bersyukur dapat berpindah di rumah saudaranya dengan selamat tanpa berlaku kejadian tidak diingini walaupun terpaksa meredah banjir sambil memangku bayinya.

“Setiap tahun sudah menjadi kebiasaan kami sekeluarga berdepan bencana banjir tetapi pada kali ini ianya berbeza apabila saya dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak lelaki bulan lalu.

“Alhamdulillah bagaimanapun suami memahami keadaan saya dan telah melakukan yang terbaik untuk keselamatan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di Kampung Buluh, di Bandar Permaisuri di sini, hari ini.

Tambahnya, pengalaman berpantang pada kali ini adalah amat berharga buat dirinya dan akan dikenang sampai bila-bila.

Sementara itu, Mohd. Khairul pula berkata, dia memilih untuk berpindah ke tempat selamat apabila melihat peningkatan paras air secara mendadak sehingga lebih satu meter di kawasan rumah dikhuatiri akan mengancam keselamatan isteri dan anak-anaknya.

“Saya memilih untuk menempatkan isteri saya di rumah saudara di kampung berdekatan demi keselesaannya yang masih dalam pantang, saya bimbang sekiranya berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) isteri tidak selesa.

“Bagaimana saya dan anak-anak yang lain pula akan tinggal di PPS sehingga keadaan kembali pulih seperti kebiasaannya.

Menurutnya, dia berharap keadaan banjir kembali pulih dengan segera agar isterinya dapat kembali berpantang seperti biasa di rumah mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya