KUALA LUMPUR: Penyanyi era 80-an, Ibnor Riza disahkan meninggal dunia pada pukul 3.30 petang tadi.
Ibnor atau nama penuhnya, Ibnor Riza Ibrahim menghembuskan nafas terakhir pada usia 62 di Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia.
Berita duka itu disampaikan penyanyi, Salwa Abdul Rahman menerusi Instagram.
“Sahabatku sudah tiada. Semoga arwah tenang dan damai di sana ditempatkan dalam kalangan beriman,” kongsinya.
Allahyarham sebelum ini kritikal selepas menjalani pembedahan membuang air pada kanan kepala gara-gara kanser limfoma tahap empat yang merebak ke bahagian otak.
Sebelum ini, Allahyarham pernah berkongsi derita yang dilaluinya akibat kencing manis, darah dan kolesterol tinggi.
Ibnor juga telah menjalani sembilan kali kimoterapi untuk merawat penyakit kanser yang dialaminya.
Arwah bergelar penyanyi bermula tahun 1984. Beliau terkenal dengan lagu-lagu malar segar antaranya Mimpi Tak Sudah dan Meneka Dalam Kesamaran.