Hukuman mati enam lelaki bunuh Kevin Morais wajar dikekalkan

Hukuman mati enam lelaki bunuh Kevin Morais wajar dikekalkan

ANTHONY KEVIN MORAIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hukuman mati yang dikenakan terhadap enam lelaki termasuk seorang pakar patologi yang didapati bersalah atas tuduhan membunuh bekas Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Datuk Anthony Kevin Morais wajar dikekalkan.

Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar dalam hujah balasnya memohon agar mahkamah mengambil kira fakta kes yang mengerikan dalam pembunuhan tersebut.

Pendakwa raya itu berkata demikian ketika membuat hujahan balas berhubung hukuman gantung sampai mati yang dikenakan enam lelaki yang merayu berhubung sabitan salah dan hukuman mati yang dikenakan terhadap mereka.

Enam lelaki tersebut ialah bekas Pakar Patologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) iaitu Dr. R. Kunaseegaran; R. Dinishwaran; A. K. Thinesh Kumar; M. Vishwanath; S.Nimalan dan S. Ravi Chandaran.

Berkuat kuasa mulai 4 Julai lalu, hukuman mati mandatori bagi 12 kesalahan termasuk pengedaran dadah, pembunuhan, penderhakaan dan keganasan dimansuhkan.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan selepas mendengar hujah kedua-dua pihak menetapkan 14 Mac 2024 untuk keputusan rayuan tersebut. Turut bersidang ialah Hakim-Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin.

Bagaimanapun, peguam-peguam yang mewakili semua lelaki berkenaan memohon agar mahkamah membuat keputusan berhubung rayuan tersebut berdasarkan fakta dan bukannya sentimen emosi.

Mereka juga memohon agar sabitan salah anak guam masing-masing diketepikan dan sekiranya sabitan salah itu kekal, peguam-peguam itu merayu agar hukuman mati digantikan dengan hukuman penjara.

“Kita pernah dengar kes pembunuhan melibatkan ketua polis dan hakim dan ini merupakan kali pertama pembunuhan membabitkan seorang timbalan pendakwa raya. Namun, tidak kira apa jua sentimen, mahkamah perlu membuat keputusan berdasarkan undang-undang,” ujar M. Manoharan yang mewakili Dinishwaran.

Selain Manoharan, turut membuat hujahan serupa ialah peguam-peguam, Datuk N. Sivananthan mewakili Kunaseegaran, Burhanudeen Abdul Wahid (Thinesh Kumar), Afifuddin Ahmad Hafifi (Vishwanath), Amer Hamzah Arshad (Nimalan) dan Kitson Foong (Ravi Chandaran).

Terdahulu, Mohd. Dusuki menghujahkan dalang pembunuhan Kevin Morais tidak perlu dibuktikan kerana bukti-bukti mengikut keadaan (circumstantial evidance) yang dikemukakan sepanjang perbicaraan cukup untuk menunjukkan bahawa enam lelaki itu membunuh mendiang.

“Secara keseluruhannya, keterangan-keterangan ini apabila digabungkan mampu mewujudkan hanya satu inferens sahaja mengenai penglibatan perayu-perayu dalam menyebabkan kematian Kevin Morais. Sebagai dasarnya, ia mampu memberikan keyakinan bahawa perayu-perayu merupakan orang yang terlibat di dalam kes ini dan tiada langsung penglibatan individu lain. 

“Tiada mana-mana individu yang ditimbulkan semasa kes pendakwaan atau kes pembelaan yang boleh menunjukkan bahawa mangsa mempunyai sebarang masalah dan dendam melainkan perayu-perayu sendiri,” kata Mohd. Dusuki.

Selain itu, Mohd. Dusuki menyatakan, hakim Mahkamah Tinggi membuat penilaian yang sewajarnya apabila menerima keterangan saksi pendakwaan ke-54, G. Gunasekaran.

Gunasekaran pada mulanya merupakan tertuduh kedua dalam kes bunuh tersebut, namun, pada hari ke-36 perbicaraan, lelaki tersebut mengaku bersalah atas pertuduhan menyembunyikan mayat dan melupuskan kereta Kevin Morais.

“Hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa SP54 merupakan rakan sejenayah (accomplice) kepada perayu-perayu lain. Meskipun demikian, Hakim Mahkamah Tinggi tidak semata-mata bersandarkan kepada keterangan SP54 dalam mensabitkan perayu-perayu. 

“Ini kerana terdapat banyaknya keterangan sokongan yang menyokong keterangan SP54 sama ada daripada saksi-saksi pendakwaan yang lain mahupun keterangan-keterangan seperti rakaman kamera litar tertutup,” kata Mohd. Dusuki.

Mendiang Kevin Morais dilaporkan hilang pada 4 September 2015 selepas keluar dari kediamannya di Menara Duta untuk ke tempat kerja di Putrajaya dengan menaiki kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WA6264Q.

Kereta tersebut ditemukan terbakar di sebuah ladang kelapa sawit di Hutan Melintang, Perak pada keesokan harinya. Mayat mendiang ditemukan dalam keadaan terikat dengan guni dan disimen di dalam tong dram di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 September 2015. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN