Hotel bimbang gangguan bekalan air lebih 48 jam - Utusan Malaysia

Hotel bimbang gangguan bekalan air lebih 48 jam

TONY GOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang menyuarakan kebimbangan susulan pengumuman Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkaitan gangguan bekalan air berjadual sehingga 96 jam pada Januari depan yang dikhuatiri mengganggu operasi perhotelan di negeri itu.

Pengerusinya, Tony Goh berkata, ini kerana tangki simpanan air sedia ada di setiap hotel hanya mampu bertahan selama 48 dan sekiranya bekalan air masih belum diperoleh selepas tempoh itu sudah pasti operasi hotel akan terjejas.

“Hotel-hotel yang berada di kawasan terlibat dengan gangguan bekalan air semuanya mempunyai tangki simpanan air dan air dari tangki boleh bertahan dua hari sahaja.

”Pemain industri perhotelan memang khuatir kerana kita tidak akan dapat menutup operasi, kalau mahu sediakan tangki air yang lebih pun di hotel tidak ada lagi tempat sesuai, malah kita tidak akan dapat sambung bekalan air ke saluran utama kerana masa terlalu suntuk,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 590,000 pengguna air di negeri ini termasuk pengguna bukan domestik di semua kawasan perindustrian utama akan mengalami gangguan bekalan air selama empat hari mulai 10 hingga 14 Januari tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari berkata, gangguan selama empat hari itu tidak dapat dielakkan bagi menampung kerja-kerja penggantian injap utama di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, Butterworth, dekat sini.

Semalam, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, majoriti atau lebih daripada 50 peratus pengguna terjejas mendapat bekalan air dalam tempoh 72 jam ketika gangguan bekalan air berjadual awal Januari tahun depan.

Menurut Tony, beliau bimbang dengan situasi yang bakal di hadapi di hotel-hotel khususnya yang terletak di kawasan Teluk Kumbar dan Bayan Lepas.

”Ini kerana kawasan ini selalunya akan menjadi kawasan yang paling akhir menerima bekalan air disebabkan lokasinya yang agak jauh.

”Jika bekalan air pulih dalam tempoh 48 jam, ia tidak akan menjadi masalah bagi pihak hotel, kita cuma bimbang gangguan bekalan akan berlarutan sehingga lebih tiga hari,” katanya.

Tambah Tony, pihaknya telah berhubung dengan PBAPP untuk bekerjasama sepanjang gangguan bekalan air berjadual itu berlaku.

”Pihak PBAPP maklumkan ada sesetengah kawasan akan menerima bekalan air dalam tempoh 48 jam dan akan menghantar tangki air ke kawasan terjejas.

”Kita berharap PBAPP akan dapat menyiapkan segera kerja-kerja yang perlu dilaksanakan di LRA Sungai Dua dan keadaan terkawal semasa gangguan bekalan air berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya