Hilangnya permata-permata seni negara - Utusan Malaysia

Hilangnya permata-permata seni negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN 2023 menyaksikan kisah suka duka mewarnai dunia hiburan tanah air. Selain cerita-cerita gembira, industri seni juga dikejutkan dengan pemergian insan-insan seni yang cukup sinonim dan dekat di hati masyarakat. 

Berita pemergian Datuk M. Daud Kilau pastinya antara yang meninggalkan kesan buat seluruh rakyat di negara ini. 

Allahyarham yang terkenal dengan jolokan Raja Gelek meninggalkan banyak kenangan sejak pertama kali beliau melangkah ke dunia seni tempatan lebih lima dekad yang lalu. 

Pada usia 85 tahun, Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Teluk Intan (HTI), pada tanggal 18 Disember lepas kira-kira pukul 4.40 petang akibat jangkitan kuman dalam darah. 

Berita duka itu dikongsi cucunya, Hasnor Ikram dalam satu hantaran yang dimuat naik di Instagram. 

“Datuk saya, Mohd Daud bin Kilau telah hembuskan nafasnya yang terakhir sebentar saja tadi… Al-Fatihah,” tulisnya. 

Allahyarham melangkah ke dunia seni tanah air selepas bergelar juara Bintang Radio di Singapura pada 1968. 

Bertitik tolak saat itu, Daud dihujani tawaran menjadi artis rakaman dan menghasilkan banyak album yang mengetengahkan pelbagai genre lagu termasuk langgam, asli dan dangdut. 

Kejayaan demi kejayaan diraih beliau antaranya menjuarai pertandingan Pesta Dendang Rakyat kategori Nyanyian Asli pada 1985. 

Segala sumbangan dan pencapaian Allahyarham diiktiraf menerusi penganugerahan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) oleh Sultan Perak pada 1991 yang membawa gelaran Datuk. 

Allahyarham dikenang sebagai penghibur berjiwa besar dan kreatif dengan penampilan pelbagai persalinan busana labuci yang dihasilkan khusus untuk dirinya. 

Malah kerinduan penyanyi lagu Cek Mek Molek itu terhadap dunia hiburan terubat apabila beliau mempamerkan busana-busana tersebut di hadapan rumahnya untuk tatapan peminat yang mengunjungi beliau di kediamannya. 

Insan seni bertaraf legenda ini sepanjang penglibatan sebagai seniman telah menghasilkan lebih 28 album. 

Selain Cek Mek Molek, arwah juga terkenal dengan rangkaian lagu-lagu bersifat malar segar antaranya Gurindam Jiwa, Kau Pergi Tanpa Pesan, Gila Judi, Tenung Tenung Renung Renung Renung dan banyak lagi. 

Arwah sebelum meninggal dunia diberitakan banyak berehat di rumahnya akibat masalah kesihatan yang dialaminya sejak enam tahun lalu membabitkan kencing manis, tidak boleh berdiri lama, kebas kaki dan tangan selain pinggang juga sakit, malah dengan keadaan jantung yang tidak stabil serta kurang daya pendengaran. 

Pemergian Allahyarham diibaratkan seperti kehilangan sebutir permata seni yang memberi kesan terhadap rakyat negara ini yang mengikuti perjalanan seninya sejak dulu.

ROHANA JALIL

SELAIN M. Daud Kilau, dunia hiburan tempatan juga kehilangan Rohana Jalil, seorang permata seni kesayangan ramai yang menghiburkan kita dengan lagu-lagu nostalgia sejak 1979. 

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada 21 Jun 2023, pukul 11.33 malam di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat masalah kebocoran usus. 

Jenazahnya dikebumikan Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya. Penyanyi yang popular dengan lagu Rayuanku itu menghembuskan nafas terakhir di sisi suami dan anak-anak nya. 

Terdahulu, Allahyarham dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sekitar April lalu selepas mengalami masalah tersebut. 

Penglibatan arwah dalam dunia seni tanah air bertitik tolak selepas beliau diangkat sebagai juara Bintang RTM pada 1981. 

Sejak itu, Rohana terus mencipta kejayaan dengan penghasilan sembilan album antaranya seperti Masih Dalam Ingatan yang diterbitkan pada 1982 dan Rayuanku (1988). 

Namanya benar-benar melonjak menerusi pelbagai lagu balada yang menjadi siulan ramai peminat antaranya Rayuanku, Cinta Yang Terbiar dan banyak lagi. 

Rohana sebelum pemergiannya banyak berkongsi nasihat dan kebaikan bukan sahaja buat keluarga, malah rakan artis dan mereka yang mengenalinya. 

Anaknya yang juga pelakon, Kilafairy, 31, reda dengan pemergian ibu tercintanya itu dan gembira kerana berpeluang berada di samping penyanyi itu pada sisa-sisa terakhir usianya. 

“Arwah selalu pesan, setinggi mana pun kita berada, jangan lupa berpijak ke tanah. 

“Pengakhirannya sangat indah. Saya tahu dia gembira dan itu buat saya tenang dan lega,” kongsi nya. 

Kata Kilafairy, antara perkara yang akan dirindukan tentang arwah adalah masakan-masakannya yang enak seperti laksa Johor dan lontong. 

“Selain itu, arwah juga seorang yang suka bergurau senda. Itu antara yang akan paling saya rindukan tentangnya,” kongsinya lagi. 

Pemergian Allahyarham turut dirasakan rakan artis termasuk penyanyi Azharina Azhar yang menyifatkan arwah sebagai seorang ibu yang penyayang serta umpama kakak yang prihatin dengan rajin bertanya khabar kepada dirinya. 

“Arwah memang berhati mulia, murah senyuman serta suka berjenaka. Akan sentiasa merinduimu Kak Ana. 

“Semoga Allah tempatkan arwah dalam kalangan orang beriman dan dilapangkan kuburnya serta dijauhi daripada azab api neraka,” tulis penyanyi itu di Facebook.

BADRUL MUHAYAT

PEMERGIAN pelakon, Badrul Muhayat pada 28 Oktober lalu juga antara yang cukup memberi kesan bukan sahaja buat peminat malah seluruh penggiat industri seni tanah air. 

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 28 Oktober lepas dalam tidur di sebuah desa di Taman Pauh Jaya, Pulau Pinang. Jenazahnya dikebumikan di Sentul, Kuala Lumpur. 

Allahyarham Badrul meninggalkan seorang balu, Norhayati yang dikahwininya pada 18 April lalu dan dua cahaya mata, hasil perkahwinannya yang terdahulu masing-masing berusia 14 dan 16 tahun. 

Beliau antara hero pujaan ramai yang memiliki pakej lengkap, rupa paras, ketinggian dan bakat. 

Perjalanan hidup Badrul diwarnai suka duka, termasuk kontroversi demi kontroversi yang hampir menguburkan kerjaya lakonannya. 

Namun naib juara Hero Remaja 1990/1991 itu kembali mengubat rindu peminat menerusi kemunculan sulung 2017 selama sekian lama menghilang. 

Sepanjang pembabitan sebagai pelakon yang bermula pada 1988, Badrul atau nama sebenarnya, Badrul Muhayat Ahmad Jailani menjayakan lebih 12  filem, lebih 40 drama dan telefilem. 

Antara  filem yang berjaya melonjak nama Badrul adalah Riang Tirana, Harry Boy, Pesona Cinta, Kad Cinta dan banyak lagi. 

Allahyarham juga pernah diangkat sebagai Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular pada 1992. 

Badrul merupakan penggiat seni yang cukup disenangi ramai. Rakan karibnya yang juga pelakon, Zazly Baginda, 51, berkata, arwah, sebelum pemergiannya kelihatan lebih mesra berbanding biasa. 

“Bulan lepas, arwah ada berkata dia rasa mahu mati tetapi saya tak ambil kisah, biasalah untuk kita sebagai umat Islam mengingati kematian. 

“Sesungguhnya, karektor arwah amat menyenangkan dan seorang individu yang sangat baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya