KUALA LUMPUR: Malaysia perlu diselamatkan daripada isu berkaitan penyelewengan, rasuah, gila kaum dan gila untuk menghasut orang membenci sama lain, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, beliau agak resah melihat permainan sentimen kaum agama dan pergaduhan perkara-perkara yang tidak menguntungkan seperti soal anti Melayu atau anti Islam.
Sedangkan, katanya, tumpuan sepatutnya diberikan untuk membaiki akhlak, mengukuhkan amalan serta kedudukan hala tuju negara.
“Fikir ke mana (hala tuju) negara ini. Ekonominya, kecerdasan buatan (AI), (pelaburan) ratusan bilion, (sektor) automotif (yang perlukan) kejuruteraan AI tahap tinggi, ini yang patut kita tumpu perhatian sekarang.
“Selain itu, dalam soal transisi tenaga, orang sudah beralih kepada sumber fosil yang asal, jadi kita kena persiap anak-anak muda dalam bidang ini.
“Jangan diheret untuk bincang perkara yang lapuk, jumud, merosakkan (atau) timbul kebencian antara satu sama lain.
“Kita tidak mungkin maju ke depan kalau kita diheret untuk bincang perkara-perkara tidak menguntungkan. Negara ini mesti diselamatkan. Hentikan penyelewengan, rasuah, gila kaum dan gila untuk menghasut orang membenci sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi dialog Malaysia Madani bersama Perdana Menteri di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, sekiranya masyarakat mahu martabat negar ini dapat diangkat, maka jangan dibenarkan penghasut mendapat tempat.
“(Sebaliknya perbincangan soal) apa rancangan tenaga, rancangan teknologi AI atau bagaimana tingkat mutu pendidikan.
“Sebab itu katakan (jika mahu) bahas soal bahasa…bahasa kebangsaan mesti dikuasai semua, tetapi kita mahu maju dan anak muda diterima dalam syarikat antarabangsa terkenal, maka biar mutu penguasaan bahasa Inggeris ditingkatkan.
“(Oleh itu) anak muda perlu meningkatkan taraf hidup, bersaing di peringkat antarabangsa dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat, ekonomi yang berjaya dan ini memerlukan sikap, dasar dan nilai baharu dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN