PETALING JAYA: Datuk kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin memohon masyarakat agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menyinggung perasaan keluarganya.
Zahari Mohd. Reba, 55, meminta agar masyarakat menyerahkan siasatan kepada pihak polis menjalankan siasatan mereka.
“Biarlah pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahaja yang mengeluarkan kenyataan, selagi tidak ada kenyataan netizen tolonglah tutup mulut,” katanya di sini hari ini.
Zahari berkata, Zayn Rayyan adalah cucu sulungnya yang paling disayanginya.
“Orang ramai di luar sana berhentilah mengeluarkan kenyataan yang tidak sahih dengan mengata perkara tidak benar berkaitan ibu bapa Zayn Rayyan.
“Saya juga berharap pembunuh cucu saya segera ditahan dalam masa terdekat selepas membaca berita polis menemukan cap jari dan DNA pelakunya,” jelasnya.
Kata beliau, anaknya sentiasa cuba memenuhi kehendak arwah setiap hari dan apa sahaja kanak-kanak itu mahu dia akan tunaikan.
“Jika ada masa lapang hari Sabtu, saya akan bawa dia berjalan-jalan. Cucu saya memang rapat dengan saya dan dia suka mandi dekat laut (pantai) atau kolam dan hiking (mendaki),” jelasnya.
Terdahulu, Zahari melalui akaun Facebooknya memohon supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak sahih sehingga mengguris perasan keluarganya.
“Salam semua di luar sana, saya mewakili Waris Arwah ZAYN RAYYAN@Tok Ayah arwah, memohon supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak sohih yang mengguris perasan keluarga kami.
“Setiap hari keluarga kami menghadapi gangguan emosi, Zayn Rayyan adalah cucu kesayangan kami,” katanya. – UTUSAN