KUALA LUMPUR : Penyertaan pelajar dalam mana-mana program berbentuk bootcamp atau latihan intensif dilihat sangat penting dalam membantu memastikan mereka mampu mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Ia termasuk golongan pelajar tahun 5 yang bakal menjalani peperiksaan Ujian Peperiksaan Kelas KAFA (UPKK).
Menurut pengasas Pusat Pembelajaran Pendidikan Islam Hatimurni, Ustazah Siti Khadijah Mohni, UPKK menjadi penanda aras bagi menilai kemampuan pelajar dalam bidang akademik sekali gus membuka peluang bagi mereka melanjutkan pengajian ke sekolah aliran agama terbaik negara.
Bagaimanapun, untuk memastikan keputusan cemerlang dapat diraih, pelajar-pelajar digalakkan untuk menyertai latihan intensif seperti program UPKK Final Countdown (UFC) yang dianjurkan oleh Hatimurni.
“Ini merupakan tahun ketiga program UFC dijalankan dan kami memberi fokus kepada pelajar tahun 5 yang akan mengambil peperiksaan UPKK. Harus ditekankan bahawa masih ada kalangan ibu bapa yang tidak faham apa itu UPKK dan mengapa ia penting untuk pembelajaran anak-anak.
“UPKK menjadi satu kayu ukur untuk menilai kemampuan pelajar selepas UPSR dimansuhkan dan Hatimurni mengambil tanggungjawab untuk membina satu platform yang menyediakan siri pembelajaran sepanjang tahun seperti Konvensyen UPKK, Bootcamp Hatimurni bagi berkongsi teknik menjawab soalan dan motivasi.
“Kami kumpulkan hampir 450 peserta untuk sesi pecutan akhir menuju ke UPKK pada Januari 2024 nanti. Bagi kami, UPKK merupakan peperiksaan wajib ambil kerana ia diperlukan sebagai penilaian untuk mereka ke sekolah menengah aliran agama.
“Malah terdapat peningkatan di mana pelajar darjah enam mengambil peperiksaan UPSRA berbanding sebelum ini kerana peperiksaan UPSR dimansuhkan. Jadi terdapat kelebihan apabila pelajar mengambil dua peperiksaan ini kerana peluang mereka lebih terbuka luas untuk ke sekolah pilihan terbaik,”katanya.
Selain itu, tambah Siti Khadijah, program tidak hanya memberi fokus kepada bidang akademik, sebaliknya ibu bapa turut diberi pemahaman akan pentingnya penglibatan mereka dalam proses pembelajaran anak-anak.
“Dalam pembelajaran, sokongan ibu bapa sangat penting dan itu yang kami terapkan dalam UFC – UPKK Final Countdown. Jika ibu bapa bersemangat, pelajar akan lebih bersemangat.
“Di akhir program kami adakan solat hajat dan bacaan ikrar bersama ibu bapa dan anak-anak untuk wujudkan ‘bonding time’ yang akan mendorong mereka lebih berusaha keras.
“Kami juga ada penambahbaikan dalam program kali ini dan dapati pelajar punya semangat yang tinggi apabila ada sesi motivasi. Malah, kami menyusun modul yang penuh energetik dengan harapan mereka lebih fokus,” katanya.
Meluahkan kesyukuran atas kejayaan luar biasa program yang dijalankan, kata Siti Khadijah, setiap tahun terdapat peningkatan memberangsangkan bagi bilangan peserta.
Tidak cuma itu, katanya, bilangan pelajar mendapat 8A terus meningkat sehingga melayakkan mereka berada di kedudukan kedua terbaik melalui Gred Purata Sekolah (GPS) seluruh Wilayah.
“Alhamdulillah setiap tahun jumlah peserta meningkat, malah tahun lepas daripada 350 peserta, lebih 100 pelajar mendapat 8A. Malah Hatimurni mendapat ranking kedua melalui GPS seluruh Wilayah.
“Saya mengharapkan keputusan yang cemerlang untuk semua anak didik dan disertai dengan adab dan akhlak yang bagus. Sokongan ibu bapa juga diperlukan supaya anak-anak cemerlang,” jelasnya.
Terdahulu, Program UPKK Final Countdown (UFC) yang berlangsung di Dewan Perdana Keramal Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini turut menjemput penceramah bebas, Syamsul Debat bagi perkongsian tentang adab dan motivasi kepada peserta.
Pusat Pendidikan Islam Swasta, Hatimurni telah ditubuhkan semenjak tahun 2007 oleh pengasasnya, Siti Khadijah Mohni dan suami, Ustaz Engku Ahmad Fadzil dengan fokus utama membantu ibu bapa memberikan pendidikan agama kepada anak-anak dan penerapan adab dan akhlak Rasulullah SAW ke dalam diri anak-anak.
Hatimurni turut menawarkan kelas pendidikan agama secara dalam talian yang bukan sahaja dihadiri oleh anak-anak di Malaysia malahan dari luar negara sehingga ke Dubai dan Qatar.