Harimau belang ditangkap guna tembakan ubat pelali - Utusan Malaysia

Harimau belang ditangkap guna tembakan ubat pelali

HARIMAU belang yang berjaya ditangkap Perhilitan Perak di RPT Tanjung Damai dekat Tanjung Rambutan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seekor harimau belang jantan berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Tanjung Damai di sini awal pagi tadi.

Haiwan pemangsa itu dipercayai harimau sama yang dikesan berkeliaran di laluan sekitar Kampung Orang Asli Tonggang ke Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta minggu lalu.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, aduan berkaitan kehadiran haiwan liar dianggarkan berusia empat tahun dengan berat 90 kilogram (kg) itu diterima pihaknya pada pukul 11.30 malam.

Katanya, sepasukan lapan anggota Perhilitan kemudiannya telah ke lokasi kejadian bagi membuat pemeriksaan dan pemantauan.

“Anggota cuba menghalau harimau belang itu masuk ke perangkap namun gagal sebelum tindakan terpaksa diambil dengan melepaskan tembakan menggunakan ubat pelali.

“Harimau belang yang berjaya ditangkap pada pukul 4.30 pagi itu akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut Yusoff berkata, dakwaan tular mengatakan terdapat lima ekor harimau belang dikesan berkeliaran di kawasan sekitar adalah tidak benar.

“Setakat penelitian kami, ada seekor sahaja (harimau belang) berkeliaran di kawasan Ulu Kinta meliputi kem PGA, Kampung Orang Asli Tonggang, RPT Tanjung Damai dan loji air.

“Kita percaya, harimau yang ditangkap hari ini adalah haiwan sama yang berkeliaran di sekitar kawasan ini minggu lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya