Harga ketum Malaysia di Thailand turun 200 peratus - Utusan Malaysia

Harga ketum Malaysia di Thailand turun 200 peratus

POLIS melupuskan daun dan cecair ketum yang dianggarkan bernilai RM5.748 juta di Balai Polis Trafik Padang Besar, Perlis.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Harga ketum Malaysia di Thailand yang pernah mencecah RM180 sekilogram turun mendadak sehingga RM30 ke RM20 sekilogram susulan polisi negara jiran itu membenarkan penanaman tumbuhan tersebut.

Penurunan harga sehingga 200 peratus itu turut menyaksikan aktiviti penyeludupan daun berkenaan di sempadan di sini semakin berkurangan sehingga 50 peratus dengan tumpuan jualan daun dan air ketum ketika ini lebih tertumpu kepada pasaran domestik.

Harga ketum untuk pasaran domestik juga turun mendadak sekitar RM10 sekilogram.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, nilai rampasan dan tangkapan berkaitan jenayah membabitkan kegiatan daun ketum di negeri ini juga semakin berkurangan susulan daripada perkembangan semasa itu.

Katanya, meskipun tangkapan bagi kegiatan berkaitan ketum semakin berkurangan namun beliau percaya aktiviti ini masih ada dan melibatkan pengedaran secara domestik.

“Bagaimanapun pasukan polis tetap melakukan kawalan dengan meningkatkan tahap keselamatan bagi mengesan kegiatan pengedaran daun ketum ini,” katanya ketika ditemui selepas pelupusan daun dan cecair ketum di Balai Polis Trafik Padang Besar, di sini, semalam.

Rampasan daun dan cecair ketum yang dilakukan bagi tempoh dari tahun 2018 sehingga 2022 telah dimusnahkan dengan anggaran nilai berjumlah RM5.748 juta.

Tambah Muhammad, bagi tempoh tersebut, sebanyak 729 kes adalah di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar manakala 1,380 kes pula melibatkan tangkapan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Untuk tempoh sama, sebanyak 494,638 kilogram daun ketum telah dirampas manakala cecair ketum yang dirampas pula adalah sebanyak 14,156 liter,” katanya.

Di samping itu, Muhammad berkata, seramai 39 individu warga tempatan telah ditahan sepanjang empat tahun ini atas kesalahan berkaitan ketum manakala sembilan lagi individu lain merupakan warganegara asing.

Beliau berkata, terdapat beberapa lokasi hotspot yang aktif dengan kegiatan berkenaan dikenal pasti sekitar Padang Besar antaranya seperti Wang Kelian, Titi Tinggi, Panggas, Beseri, Chuping dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

“Lingkungan umur suspek yang terlibat dalam kegiatan tersebut adalah bermula dari 19 sehingga 41 tahun ke atas,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya