Harap Kabinet baharu kekal sehingga empat tahun - Anwar

Harap Kabinet baharu kekal sehingga empat tahun – Anwar

ANWAR Ibrahim menunjukkan senarai barisan Kabinet selepas sidang akhbar di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Barisan Jemaah Menteri baharu dan pertukaran jawatan menteri serta timbalan menteri yang diumumkan hari ini diharap akan dikekal sehingga empat tahun akan datang, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, beliau juga berharap barisan Kabinet itu akan kekal mentadbir negara sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Saya harap insya-Allah (kekal) kalau prestasi baik dan memuaskan selain tiada tekanan atau masalah baharu seperti isu transformasi digital.

“Saya tidak fikir harus ada perubahan untuk kita ada rencana untuk empat tahun akan datang sehingga pilihan raya umum,” katanya dalam sidang akhbar selepas pengumuman barisan Kabinet baharu di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertanyaan media sama ada rombakan Kabinet itu akan dilakukan secara tahunan memandangkan perubahan itu berlaku selepas setahun pentadbiran Kerajaan Madani.

Katanya, rombakan Kabinet dibuat bertujuan memberi sedikit penyesuaian selepas setahun pentadbiran Kerajaan Madani.

Anwar berkata, keadaan (rombakan dan penyesuaian Kabinet) juga perlu berubah seiring perkembangan ekonomi, permasalahan rakyat dan soal penerimaan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Isu pendidikan, pendidikan tinggi terutama dalam urusan meneroka bidang baharu seperti kecerdasan pintar (AI) dan transformasi digital menyebabkan saya berfikir semula untuk membuat sedikit sebanyak penyesuaian sesuai keadaan dan tuntutan semasa.

“Setelah berbincang dengan ketua-ketua parti dan komponen, maka saya buat beberapa cadangan sebelum persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mendapat perkenan,” katanya.

Katanya, majlis angkat sumpah bagi menteri dan timbalan menteri baharu akan berlangsung di Istana Negara petang ini.

Menerusi rombakan Kabinet diumumkan Perdana Menteri hari ini, seorang menteri dan dua timbalan menteri digugurkan iaitu bekas Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar selain Ramkarpal Singh dan Datuk Siti Aminah Aching.

Secara keseluruhan, jumlah Jemaah Menteri kini meningkat daripada 28 ke 31 orang manakala, jumlah timbalan menteri pula meningkat dari 27 ke 29 orang.

Bagaimanapun, jumlah keseluruhan Jemaah Menteri ini masih lagi rendah jika dibandingkan 70 orang barisan Kabinet pada pentadbiran sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya