SEPANG: Penumpang dari Semenanjung Malaysia yang ingin ke Sabah dan Sarawak boleh menikmati tambang hanya RM599 untuk penerbangan tiga hari sebelum perayaan.
Berita gembira tersebut diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, sebagai inisiatif kerajaan Madani melalui subsidi harga bersempena cuti perayaan utama sekali gus memberi banyak manfaat terutama kepada ribuan pelajar dari dua negeri itu.
“Penumpang boleh berlepas dari beberapa lapangan terbang di Semenanjung yang ada penerbangan ke mana-mana terminal udara di Sabah, Sarawak dan Labuan meliputi tiket kelas ekonomi sehala lebih RM599,” katanya ketika bercakap dalam sidang akhbar ketika sela pemukiman Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini hari ini.
Langkah itu selaras kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid pada 4 Mei lepas mengenai penyelesaian isu tambang mahal setiap kali perayaan ekoran rungutan pelbagai pihak terutama pekerja berpendapatan rendah dan inisiatif itu mula diperkenalkan MOT ketika musim cuti panjang Kaamatan serta Gawai akhir Mei lalu.
Mengulas lanjut Loke berkata, beliau membawa syor harga maksimum tetap itu pada mesyuarat mingguan Kabinet kelmarin dan dipersetujui sebulat suara ahli jemaah menteri.
Justeru ujarnya, kerajaan akan menanggung perbezaan harga sepatutnya dikenakan oleh operator yang kelaziman amat tinggi melebihi RM600 jikalau dibeli lewat saat-saat akhir.
“Kebiasaannya tiga hari sebelum perayaan adalah tempoh trafik paling tinggi dan hanya ada baki sekitar 10 peratus kerusi dalam pesawat dengan tambang pun mahal,” jelasnya.
Buat permulaan tambah Loke, ia akan melibatkan tiga hari menjelang Krismas ini sebelum diteruskan ketika perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Kaamatan dan Gawai.
Penumpang katanya, boleh membeli tiket khas itu melalui laman sesawang rasmi syarikat penerbangan domestik sedia ada AirAsia, Firefly, Malaysia Airlines Berhad dan Batik Air.
Walau bagaimanapun ujar beliau, ada terma dan syarat ditetapkan iaitu tiada pertukaran tarikh dan larangan perubahan nama pelanggan itu serta tiket tidak boleh dikembalikan.
“MOT sudah pun mencapai persetujuan dengan semua operator udara kerana ada situasi menang-menang malahan kerajaan bayar harga tiket yang sepatutnya mahal,” katanya.
Tambang khas itu sebaliknya kata Loke, tidak merangkumi pembelian promosi awal yang kelazimannya memang amat murah dan dibuka enam bulan sebelum tarikh penerbangan.
Beliau namun tidak menyatakan jumlah implikasi kewangan yang akan ditanggung tetapi berkata, angkanya boleh mencecah jutaan ringgit berdasarkan pengalaman sebelum ini.
Ketika Gawai dan Kaamatan yang merupakan perayaan terbesar di Sabah dan Sarawak akhir Mei lalu, kerajaan membayar subsidi hampir RM20 juta melibatkan lebih 17,000 tiket. – UTUSAN