HAKN pacu kemampanan agrikomoditi negara – TPM

HAKN pacu kemampanan agrikomoditi negara – TPM

FADILLAH Yusof (tengah) merasmikan Hari Agrikomoditi Negara di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam. Hadir samaTimbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching (dua dari kiri); Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Mad Zaidi Mohd. Karli (dua dari kanan); Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi), Datuk Zailani Hashim (kanan) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan), Abdul Hadi Omar (kiri). – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hari Agrikomoditi Negara (HAKN) menjadi titik penting dalam terus memperkasa aspek kemampanan sektor berkenaan untuk terus maju dan menyumbang kepada ekonomi negara.

Bertemakan Memacu Kemampanan Agrikomoditi Negara, sambutan sulung HAKN semalam mengetengahkan kepentingan lapan komoditi iaitu sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, kenaf, biobahan api dan biojisim kepada masyarakat.

HAKN menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan kepada pihak-pihak terlibat dalam sektor agrikomoditi yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Sambutan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu juga menjadi platform perkongsian pengetahuan dasar dan usaha kerajaan termasuk tanggungjawab kawal selia dalam membangunkan sektor agrikomoditi kepada masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, idea penganjuran HAKN timbul berikutan sektor agrikomoditi adalah tunjang utama ekonomi negara sejak sekian lama.

Malah, beliau berkata, sektor agrikomoditi dilihat terus relevan kerana industri tersebut memenuhi keperluan negara dan masyarakat.

“Pada 2022, sektor agrikomoditi menyumbang sebanyak RM83.88 bilion atau 5.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Setakat September 2023, sektor agrikomoditi menyumbang RM60.4 billion atau sekitar 5.22 peratus KDNK.

“Pada 2022 juga, nilai eksport sektor agrikomoditi adalah sebanyak RM 207.27 bilion atau 13.38 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara.

Pencapaian sehingga September 2023 merekodkan nilai eksport sektor agrikomoditi mencapai RM117.2 bilion atau 11.06 peratus daripada keseluruhan pendapataneksport negara,” kata beliau.

Terdahulu, HAKN menampilkan pelbagai program dan aktiviti, antaranya penyampaian Anugerah Agrikomoditi Negara yang membabitkan lapan kategori kepada 15 pemenang terdiri daripada 11 individu dan empat organisasi, selain satu anugerah khas.

Selain itu, Agrikomoditi Walk pada 9 Disember ini yang mengumpulkan lebih 2,000 orang peserta dan program Malaysia International Commodity Conference & Showcase (MICCOS) 2025 yang dilaksanakan sebagai signatur acara kementerian sempena HAKN.

MICCOS 2025 menghimpunkan pihak industri, penyelidik, pekebun kecil, pelajar dan orang ramai bagi memberi pendedahan tentang sektor agrikomoditi.

FADILLAH Yusof (kanan) melawat ladang koko pada Program Tanaman Koko sempena Trek Komoditi Zon Tengah 2023 di Kebun Lees Cocoa Farm, Tanjung Sepat, Selangor, baru-baru ini. Koko adalah satu daripada lapan komoditi selain sawit, getah, kayu-kayan, lada, kenaf, biobahan api dan biojisim yang diketengahkan kepentingannya kepada masyarakat sempena HAKN. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

Fadillah berkata, kementeriannya tidak pernah berhenti dalam berusaha mengangkat semua sektor komoditi untuk meningkatkan produktiviti negara.

Menurut beliau, kementerian melalui Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) mengenal pasti produktiviti sebagai salah satu daripada lima teras dasar yang perlu diberi keutamaan.

Katanya, dasar itu menggariskan bahawa produktiviti boleh ditingkatkan melalui penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan dan inovasi (R&D&C&I) dan penerimagunaan teknologi.

“Dalam usaha meningkatkan produktiviti pekerja dan mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing murah dalam sektor agrikomoditi, kementerian akan mempergiat kerjasama awam-swasta melalui R&D&C&I untuk mengembangkan teknologi berdaya maju bagi meningkatkan hasil dan produktiviti, menambah baik persekitaran pekerjaan dan memperluas penggunaan mekanisasi serta automasi pada peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.

“Antara usaha meningkatkan produktiviti negara yang akan dilaksanakan pada 2024 selaras pengumuman Belanjawan 2024 adalah Insentif Program Tanam Semula Sawit dengan peruntukan RM100 juta untuk dimanfaatkan kepada 7,000 pekebun kecil sawit persendirian yang memiliki pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi memastikan bekalan buah tandan sawit (BTS) pada masa hadapan adalah terjamin,” katanya.

Selain itu, katanya, pelaksanaan Paras Harga Pengaktifan (PHP) bagi Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dari RM2.70 ke RM3.00 sekilogram dengan peruntukan sebanyak RM400 juta.

Ujarnya, kenaikan kadar insentif ini diharap dapat meringankan beban pekebun kecil getah.

“Seterusnya, Projek Rintis Penggunaan Gas Stimulan yang berupaya meningkatkan pengeluaran getah sehingga tiga kali ganda. Penggunaan gas stimulan ini mampu menambah jangka hayat pokok getah sehingga 25 tahun.

“Pelaksanaan projek rintis ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk manfaat pekebun kecil di ladang seluas 1,000 hektar. Projek ini dijangka dapat meningkatkan pengeluaran dan produktiviti getah negara secara amnya dan pendapatan pekebun kecil getah secara khususnya,” katanya.

Fadillah menambah, terdapat lima usaha lain sedang dilaksanakan dalam menyokong produktiviti sektor agrikomoditi.

Kata beliau, antaranya pembangunan usahawan pekebun kecil gaharu yang merangkumi skim insentif inokulasi, bimbingan dan pemasaran yang dapat memudahkan pengusaha memasuki pasaran serta meningkatkan produk gaharu negara.

“Keduanya, memperkasa aktiviti pengembangan tanaman koko dengan memperkukuh kerja-kerja pemantauan produktiviti dan khidmat nasihat kualiti dan pemasaran termasuk padanan pasaran dengan pembuat coklat artisan bagi meningkatkan pendapatan.

“Program-program bantuan yang merupakan touch point kepada pekebun kecil lada seperti Skim Tanaman Lada Baharu (STLB), Skim Tanaman Lada Matang (STLM), Projek Pembangunan Pengeluaran Lada Premium (PPLP) dan skim usahawan dan skim pembiayaan pembangunan pasaran terus dilaksanakan berdasarkan peruntukan yang diluluskan.

“Selain itu, program tanaman baharu kenaf melibatkan bantuan baja dan racun serangga dan pembinaan kemudahan pengeluaran benih kenaf merangkumi bantuan untuk mekanisasi pertanian dan bekalan biji benih yang berkualiti tinggi adalah faktor penting dalam meningkatkan produktiviti pertanian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya