Haikal tidak pandai berenang - Bapa

Haikal tidak pandai berenang – Bapa

ANGGOTA bomba dan penyelamat menggunakan bantuan seekor anjing pengesan (K9) Jabatan JBPM dari Kuala Lumpur untuk operasi pencarian di lokasi mangsa terjatuh. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: “Dia memang tak pandai berenang…sebab itu saya beritahu sejak dari kecil lagi jangan main dekat air.”

Demikian kata Che Jaapa Che Endut, 61, bapa kepada mangsa, Muhammad Amirul Haikal, 14, yang dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan di tali air, dekat Lorong Indera Sempurna 2, petang semalam.

Che Jaapa berkata, pesanan terbabit dibuat kerana anaknya tidak pandai berenang, selain bimbang berlakunya perkara tidak diingini.

Menurutnya, dia tidak menyangka perkara demikian boleh terjadi kerana anaknya merupakan seorang yang mendengar kata.

“Kali terakhir saya berjumpa dengannya pada pukul 3 petang semalam, apabila dia meminta izin untuk keluar ke rumah rakan.

CHE JAAPA CHE ENDUT

“Saya sangka dia ke rumah kawan untuk bertanya tentang urusan sekolah sebab dia memang jarang keluar pada waktu itu.

“Biasanya dia akan keluar pada jam 5 petang dan ke atas untuk bermain bola,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi operasi mencari dan penyelamat (SAR) di kawasan Perumahan Makmur Seri Damai Jaya, di sini hari ini.

Bagaimanapun, pesara kerajaan itu turut memberitahu, dia dan keluarga reda dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.

Katanya, namun begitu berharap berharap agar anaknya itu dapat ditemukan segera.

“Saya reda… Allah bagi saya pinjam anak saya selama lebih kurang 14 tahun sahaja.

“Sekarang ini saya hanya berharap dapat jumpa anak saya dalam apa juga keadaan sekalipun,” katanya.

Dalam pada itu, abang mangsa, Mohamad Amirul Hakimi, 22, pula berkata, adiknya tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian terbabit.

Ujarnya, dia tidak menyangka Mohamad Amirul Haikal akan ke tali air untuk mandi.

“Cuma saya perasan adik makin rapat dengan emak dan tidak sangka adik dihanyutkan ketika mandi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, operasi SAR yang bermula jam 8 pagi hari ini, menumpukan kawasan sepanjang tiga kilometer dari tempat kejadian.

Ujarnya, seramai 45 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi pencarian yang membabitkan JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“SAR turut mendapatkan bantuan seekor anjing pengesan (K9) Jabatan JBPM dari Kuala Lumpur untuk operasi terutama dari lokasi mangsa terjatuh.

“Kawasan tumpuan operasi dari kawasan sungai Air Hitam hingga persimpangan Sungai Belat, di sini,” katanya.

Semalam media melaporkan mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Kilau, dikhuatiri lemas ketika mandi di tali air Lorong Indera Sempurna 2, Perkampungan Indera Sempurna, di sini, kira-kira jam 3.50 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya