Guru terkilan gagal selamatkan mangsa dikhuatiri lemas - Utusan Malaysia

Guru terkilan gagal selamatkan mangsa dikhuatiri lemas

Selamat lemas
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: “Saya hanya sempat menarik rambut salah seorang mangsa manakala seorang lagi sudah tenggelam,” kata saksi kejadian seorang kanak-kanak lemas di Sungai Tok Hakim dekat sini, petang semalam.

Ahmad Taufik Yusof, 30, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 4.30 petang, dia dan keluarganya turut berada di situ sebelum dikejutkan suara meminta pertolongan oleh seorang budak lelaki.

Menurutnya yang bekerja sebagai guru, dia mendapati dua kanak-kanak terkapai-kapai dihanyutkan arus deras sungai lalu terjun bagi menyelamatkan mangsa.

“Sebaik terjun ke dalam sungai, saya sempat menarik rambut salah seorang mangsa manakala seorang lagi sudah tenggelam dan sambil mengikuti arus deras sungai, saya berpaut pada sebatang pokok.

“Saya kemudian berjaya membawa kanak-kanak itu ke tebing sungai sebelum menelefon pihak berkuasa namun terkilan kerana gagal menyelamatkan seorang lagi mangsa.

“Anak sungai ini memang menjadi tempat bermandi-manda penduduk tetapi ketika itu arus memang deras sehingga boleh menghanyutkan budak lelaki,” katanya yang ditemui di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, Muhammad Harraz Ilman Mohd. Syahril Redhuan, 11, datang ke lokasi berkenaan untuk bermandi-manda bersama adiknya, Muhammad Firas Wafiy, 9, dan seorang lagi rakan mereka.

Kegembiraan tiga sekawan itu bertukar tragedi setelah Muhammad Harraz Ilman dikhuatiri lemas dan setakat ini, belum ditemui manakala dua yang lain itu terselamat.

Menurut Ahmad Taufik lagi, dia bersama keluarganya berada di kawasan itu untuk melihat banjir dan tiada pengunjung lain di kawasan tersebut kecuali tiga kanak-kanak berkenaan.

“Saya hanya fikir keselamatan kanak-kanak itu sehingga sanggup terjun meskipun arus sungai cukup deras dan bersyukur berjaya menyelamatkan seorang mangsa,” ujarnya lagi.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Harraz Ilman terus hari ini oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohd. Khairiri Mat Resad berkata, radius pencarian tertumpu pada jarak 30 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya