Guru agama tidak mengaku amang seksual 5 pelajar - Utusan Malaysia

Guru agama tidak mengaku amang seksual 5 pelajar

SEORANG guru agama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini, atas lima pertuduhan amang seksual fizikal terhadap lima pelajar di sebuah pusat tahfiz tahun lalu. - Pic: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Seorang guru agama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas lima pertuduhan amang seksual fizikal terhadap lima pelajar di sebuah pusat tahfiz tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 29 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki yang ketika itu berusia 13 tahun pada pukul 3 pagi, Jun lalu di sebuah rumah sewa di Tasek Gelugor, dekat sini.

Bagi pertuduhan kedua hingga kelima, tertuduh didakwa melakukan perkara sama terhadap empat lagi pelajar lelaki yang ketika itu berusia 14 tahun antara Januari hingga September 2022.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan terbabit di asrama tingkat bawah pusat tahfiz di Padang Menora, Tasek Gelugor.

Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Sementara itu, hukuman bagi Seksyen 16 akta berkenaan, tertuduh boleh dipenjara lima tahun dan boleh dikenakan tidak kurang dua kali sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Imran Farouk.

Ketika prosiding, Wan Amira Ruzaini memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh, namun Mohd. Imran merayu mahkamah memberi ikat jamin susulan anak guamnya yang sudah berkahwin itu perlu menyara keluarga.

Zulhazmi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati atau mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Kes akan disebut semula pada 17 Januari depan untuk serahan dokumen.

Difahamkan, keluarga tertuduh membayar jaminan keseluruhan yang berjumlah RM20,000 itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya