JERAI: Gunung Jerai yang bergelar ‘Cameron Highland Kedah’, di sini mencatatkan kunjungan luar biasa terutama dalam kalangan pelancong domestik sepanjang cuti sekolah sejak pertengahan bulan ini.
Pengurus Besar PKNK Hotel Sdn. Bhd., Mohd. Salim Sulaiman berkata, secara purata 3,000 hingga 3,500 pengunjung ke puncak gunung berkenaan setiap hari terutama sejak pembukaan pelantar pemandangan, Jerai Sky View pada 1 Disember lepas.
“Kami sendiri teruja kerana berbanding dahulu kunjungan hanya sekitar 1,000 atau kurang. Tetapi sejak 1 Disember lepas kunjungan menjadi 2,000 ke atas dan sehingga cuti sekolah ini bertambah menjadi tiga kali ganda.
“Banyak yang memilih bersantai di Jerai Sky View dan beriadah di kawasan sekitar untuk menikmati suasana dingin di puncak gunung,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau tidak menafikan perkembangan terbaharu itu juga mengakibatkan jalan di sepanjang pendakian ke Gunung Jerai sering mengalami kesesakan terutama apabila pengunjung memilih untuk memandu sendiri ke puncak.
“Sebenarnya kita menggalakkan pengunjung menggunakan perkhidmatan sewa van yang terletak di kaki gunung iaitu RM80 hingga RM100 sebuah pergi balik untuk ke atas. Ini kerana di puncak, kapasiti tempat meletakkan kereta hanya 120 petak sahaja,” katanya.
Dalam pada itu menurut seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Kaslina Aziz, 43, mereka empat sekeluarga memilih untuk singgah di Gunung Jerai ketika dalam perjalanan ke Arau, Perlis.
“Kami dalam perjalanan pulang ke kampung dan ambil keputusan untuk singgah di sini sebentar. Memang menarik kerana hari ini cuaca agak cerah. Seronoklah tengok pemandangan yang indah dari tempat tinggi macam dekat luar negara pun ada.
“Cuma kami terpaksa menunggu lama untuk ke atas menggunakan van sewa kerana jalan sesak sebab banyak kereta tersadai ekoran tiada parkir. Mungkin sesuatu perlu dilakukan untuk memperbaiki situasi ini,” kata kerani bank ini.
Seorang lagi pengunjung dari Pulau Pinang, Ming Soo Lin, 48, berkata, sejak Gunung Jerai tular di media sosial kebelakangan ini, dia dan rakan-rakannya merancang untuk bercuti di Alor Setar.
“Saja saya dan kawan-kawan tukar angin. Kami pilih untuk bermalam di puncak dan ia sangat menyeronokkan,” kata ahli perniagaan itu.
Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Datuk Mohd. Salleh Saidin, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan semua pihak terlibat dalam usaha menambah baik perkhidmatan kepada pengunjung di kawasan itu.
“Itu termasuk pihak pengusaha van sewa yang membawa pengunjung ke Gunung Jerai. Kita mahu lihat apa yang boleh kita lakukan untuk menaik taraf perkhidmatan bagi memudahkan orang ramai berkunjung ke puncak.
“Jika perlu kita akan menambah lagi kenderaan pengangkutan itu terutama pada waktu puncak supaya lebih ramai dapat berkunjung ke puncak,” katanya.-UTUSAN