MELAKA: Siapa sangka keunikan sebuah kedai makan di Batu Berendam di sini yang menghidang juadah kari kambing dalam bekas susu getah diperbuat daripada tanah liat tular hingga ke Singapura.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, pemilik Nasi Kambing Hyderabad, Yusdey Ismail, 46, berkata, dia mendapat inspirasi menggunakan bekas tersebut selepas buntu memikirkan konsep kedai makan yang sesuai dan berbeza.
Katanya, bekas getah itu telah lama dibeli dari sebuah kilang di Ipoh, Perak dan tidak pernah digunakan.
“Saya ada 200 mangkuk getah tanah liat dan tidak pernah digunakan langsung. Lama juga saya berfikir dan kemudian mendapat idea untuk menjadikannya sebagai bekas hidangan menu baharu yang saya olah sendiri iaitu kari kambing Hyderabad.
“Resepi ini berasal dari timur tengah dan saya sesuaikan bahan-bahan masakan yang digunakan dengan selera tempatan. Set ini terdiri daripada nasi, sup, air asam dan kari kambing dan berharga RM20 untuk seorang makan.
“Kari kambing yang telah siap dimasak akan dimasukkan ke dalam mangkuk dan ditutup dengan roti sebelum dimasukkan ke dalam ketuhar khas yang diperbuat daripada batu bata. Alhamdulillah, walaupun kedai ini baru lima minggu beroperasi tetapi kelainan yang ditampilkan diterima baik oleh pelanggan,” katanya ketika ditemui.
Tambah Yusdey, sebelum ini dia hanya menjual antara lima hingga lapan mangkuk kari kambing Hyderabad sehari.
Menurutnya, keadaan itu bagaimanapun berubah apabila menu berkenaan tular di platform media sosial TikTok hingga ke Singapura.
“Kari kambing ini sangat popular dan menjadi menu paling laris. Sebanyak 50 mangkuk kari kambing terjual setiap hari dan meningkat kepada 150 mangkuk pada hujung minggu dan cuti umum.
“Saya tidak menyangka sambutan yang diterima sangat menggalakkan sehingga tidak menang tangan. Ramai pelancong antaranya dari Singapura, Pahang, Kedah dan Perak telah singgah untuk merasai sendiri keenakan menu ini,” ujarnya.-UTUSAN