KUALA LUMPUR: Kejohanan Golf Terbuka Malaysia yang kembali dianjurkan pada 15-18 Februari tahun depan di Mines Resort & Golf Club berpotensi dijadikan sebagai ‘gelanggang’ pemain untuk melayakkan diri ke Kejohanan Terbuka Britain.
Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor berkata, selepas tiga tahun Terbuka Malaysia tidak dianjurkan gara-gara wabak Covid-19, pihaknya kini berhajat untuk menaikkan status kejohanan itu bagi menarik lebih ramai pemain ternama ke negara ini.
“Kita masih menunggu R&A (badan induk golf dunia) untuk mengesahkan permohonan yang kita hantar kepada mereka dan selepas dapat pengesahan, kita akan umumkan nanti.
“Usaha ini bagus kerana saya yakin apabila kita menjadikan Terbuka Malaysia sebagai kejohanan untuk pemain melayakkan diri ke Terbuka Britain, saya yakin ramai pemain ternama akan beraksi di Malaysia,” katanya pada sidang media pengumuman IRS Prima Holding Sdn. Bhd. sebagai penaja utama Terbuka Malaysia di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IRS Prima Holding, Datuk Yusuf Abdul Rahman dan Komisioner Jelajah Asia, Cho Minn Thant.
Menurut Mohd. Anwar, jika permohonan tersebut mendapat restu R&A, ini bermakna pemain yang melengkapkan saingan di kedudukan dua atau tiga terbaik pada Terbuka Malaysia boleh meraih slot ke Terbuka Britain.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai penganjuran Terbuka Malaysia Februari ini, beliau memberitahu, hadiah kemenangan bernilai AS$1 juta (RM4.62 juta) telah disediakan oleh IRS Prima Holding.
“Terbuka Malaysia berada dalam Jelajah Asia dan hadiah kemenangan dalam Jelajah Asia tak pernah melepasi AS$1 juta, jika anda sedar Terbuka Singapura turut menawarkan nilai hadiah kemenangan yang sama.
“Selepas tiga tahun kita akan menilai semula sama ada untuk menarik taraf hadiah kemenangan itu dan Terbuka Malaysia masih kekal menjadi antara yang terbaik di rantau ini,” ujarnya.
Ketika ditanya pula mengenai penyertaan wakil negara pada Terbuka Malaysia, jelas Mohd. Anwar, seramai lapan pemain berdasarkan ranking dunia masing-masing termasuk empat amatur akan dipilih MGA untuk mewakili Malaysia pada kejohanan itu kelak.
Bagaimanapun, kata beliau, Jelajah Asia bersedia untuk menambah bilangan penyertaan pemain Malaysia yang tidak layak dari segi ranking di atas tiket jemputan dengan jumlahnya mungkin mencecah 25 hingga 28 pemain keseluruhan.
Antara pemain negara yang telahpun mengesahkan tempat mereka pada Terbuka Malaysia adalah Gavin Kyle Green, Ben Leong dan Syariffuddin Ariffin.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IRS Prima Holding Sdn. Bhd., Datuk Yusuf Abdul Rahman berkata, pihaknya berbesar hati kerana diberi peluang untuk menyokong kejohanan tersebut melalui pelantikan sebagai penaja utama.
“Kami akan memberikan semua sokongan dan bantuan kepada MGA dan Fairway Inspired Sdn. Bhd. (FISB) untuk memastikan kejohanan ini mencapai kejayaan yang besar,” katanya.
FISB sebagai penganjur acara dan urus setia. – UTUSAN