GLIC, GLC harus menggembleng tenaga untuk menyokong

GLIC, GLC harus menggembleng tenaga untuk menyokong aspirasi negara –PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu menggembleng tenaga untuk menyokong aspirasi negara sebagai destinasi pelaburan dan hab ekonomi Islam bertaraf dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia juga bagi melonjakkan pelaburan dalam sektor digital dan tenaga boleh diperbaharui negara serta menggalakkan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melebarkan pasaran ke negara-negara serantau.

“Saya menerima baik cadangan-cadangan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif GLIC untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kemajuan ekonomi tempatan.

“Ini termasuklah menambah baik perbelanjaan daripada kutipan zakat korporat, menjalinkan usaha sama dengan sektor swasta bagi membangunkan penginapan pelajar-pelajar serta menggembleng lebih dana untuk pelaburan di syarikat-syarikat tidak tersenarai dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat dengan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif GLIC.

Anwar berkata, perbincangan tersebut adalah mukadimah kepada reformasi GLIC dan GLC supaya mereka lebih tertumpu kepada pembangunan serta kesejahteraan rakyat seperti yang digariskan dalam kerangka Ekonomi Madani iaitu memperkasa rakyat.

“GLIC mempunyai tanggungjawab untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pendapatan rakyat terbanyak. Dengan jumlah saiz aset di bawah pengurusan bernilai RM1.84 trilion, yakni hampir sama dengan saiz keluaran dalam negeri kasar (KDNK) nominal Malaysia pada tahun ini.

“GLIC di Malaysia berupaya menggerak dan melonjak ekonomi Malaysia ke depan. Semasa sesi tersebut, saya memberi mandat kepada GLIC untuk meningkatkan pelaburan langsung domestik masing-masing,” jelasnya.

Tambahnya, bagi memastikan misi-misi tersebut dapat dicapai, kerajaan akan mengadakan mesyuarat berkala yang akan dipengerusikan oleh beliau atau Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

“(Ini) untuk memantau pencapaian dan kemajuan inisiatif yang diterajui oleh GLIC. Insya-Allah, dengan pendekatan ini, Malaysia akan melangkah lebih cepat ke arah kemajuan yang mapan dan saksama,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya