Gig tribute, acara menyadur lagu mega dan indie perdana - Utusan Malaysia

Gig tribute, acara menyadur lagu mega dan indie perdana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENINGKATAN semula kes Covid-19 membawa saya kembali ke 2021. Sewaktu kes Covid berpuluh ribu. Sewaktu kita diperintah berkurung. Sewaktu semua merangkak mencari setitik cahaya semangat. Kiri kanan semua susah. 

Tidak boleh berjumpa orang dan dalam kes lapangan muzik independen, tidak boleh turun gig. Dalam kesusahan, penggiat lapangan bersatu dan bersolidariti. 

Banyak ruyung yang dipecah demi sagunya — untuk muzik terus hidup dan bernafas, untuk penggiatnya terus berkarya dan tidak tumpas. 

Aromanya positif. Penyatuan lawan kelesuan. Kes Covid-19 pun semakin susut. Pandemik bergerak ke arah endemik. Pagar kurung diangkat dan kawan baharu berketawa bertentang mata. Lalu gig tribute tiba.

TRIBUTE, OH

Satu hiperbola super kalau saya kata, gig tribute yang merentap segala positiviti lapangan muzik independen semasa pandemik. Tetapi ia boleh jadi simbol. Jadi pemula untuk sebuah wacana. 

Dalam masa dua tahun, lapangan berubah. Ini bukan cerita permukaan yang boleh dilihat dengan sekali jenguk. Ini kisah dalam perut lapangan, para penggiatnya yang di dasar. 

Ceritanya tidak boleh dikorek tuntas hanya dengan bacaan media sosial. Perlu duduk semeja, berbual hati ke hati dan isinya dibawa pulang serta direnung. 

Gig tribute menjadi simbol menjauhnya amalan lapangan dari akar budayanya. Saya jelaskan di bawah.

ASAS LAPANGAN

Dalam artikel tentang dokumentari Pekik, saya petik kata-kata Fathullah Luqman Yusof yang memetik Francis dari Opposition Party: “sorry, we don’t play covers”. Ia menjelaskan maruah pemuzik yang dipegang awal oleh Fathul, pendiri kugiran Spiral Kinetic Circus, Infectious Maggots dan projek solonya, Fathulistiwa. 

Hal sama juga ada disebut Dead Mushroom dalam dokumentari itu. Tentang pentingnya kugiran untuk ada karya sendiri. Ia menjadi syarat untuk disenarai dalam flyers gig. Saya juga pernah mengutarakan fahaman kesalingan dalam lapangan. 

Tentang mutualisme dalam biologi dan ekonomi; bagaimana ia menjelaskan ideologi yang dipegang dalam lapangan independen — lapangan yang kurang wang. Dalam artikel “Kita alternatif, maka kita ada”, saya angkat semangat mahu berbeza sebagai tiang seri lapangan independen. Tanpa sikap alternatif, lapangan independen tidak ada makna. 

INDIE PERDANA 

Gig tribute yang dianjurkan secara berkala dan mega melanggar semua asas lapangan independen di atas. Ia tidak menggalakkan kugiran berbangga pada karya sendiri. 

Motivasinya wang dan keuntungan, unsur kapitalistik yang menjadi parasit dalam lapangan berasaskan kesalingan. 

Ia tunduk pada trend, tiada semangat alternatif. Itu belum masuk acara menyadur lagu seberang seperti Malam Galau Indonesia yang saya tak mahu anggap sebagai acara tribute pun. 

Kalau itu acara tribute, sangatlah memalukan. Tribute pada lagu-lagu popular seberang yang belum diuji masa. Lambakan gig tribute dan acara menyadur lagu mega sekarang mengkhianati asas-asas lapangan independen, sebab itu saya enggan melihat ia sebagai sebahagian daripada lapangan independen. 

Saya gelarkannya sebagai ‘indie perdana’ atau ‘maindiestream’ — praktisnya indie tapi sikap dan sifatnya arus perdana.

BULUH SONGSANG 

Apa masalahnya, sedangkan bagi saya, ia bukan sebahagian daripada lapangan independen? Disebabkan praktisnya ‘indie’ – makna indie yang paling permukaan dan mudah difahami – ramai yang menyekutukan acara-acara itu dengan lapangan independen. 

Bagi mereka yang baru kenal, kemungkinan dalam kepala mereka, band indie ini band cover. Lebih-lebih lagi apabila pengaruh acara menyadur lagu sudah mekar di universiti — fasa yang sangat baik untuk mengumpul peminat muzik independen. Para pelajar yang muda-muda, yang berpotensi besar menjadi peminat kugiran independen dan karya-karya asli mereka sudah terpesong fahamannya. 

Kugiran tempatan dianggap teman karaoke, pelantun lagu-lagu kegemaran mereka dari luar negara. Rebung-rebung itu sudah dilentur songsang. Buluhnya nanti mengeras ke mana? 

Gig-gig kecil juga semakin susut pengunjung. Ramai yang sudah berhabis duit ke gig tribute dan acara menyadur lagu. 

Gig tribute, kalau dilaksanakan sekali-sekala seperti biasa, tidak membawa masalah. Tetapi kalau penganjurannya berkala, malah mega, ia menjadi gangguan baharu yang tidak sihat untuk lapangan. 

IMPAK ANEKDOTAL 

Pada detik kita merobohkan platform muzik sebagai ruang ekspresi identiti bakat tempatan, kita sedang membunuh muzik sendiri. Bentangkanlah bukti-bukti anekdotal yang beberapa kugiran dapat melonjakkan jumlah pendengar selepas acara menyadur lagu mega, realitinya tetap, ia mengagungkan karya luar berbanding tempatan. 

Kita tak bodoh. Kita tahu, kalau acara menyadur lagu mega dan gig tribute ini baik, impaknya patut dah jelas sekarang. Sudah lebih setahun ia menjadi trend. Apa yang berlaku, kugiran tempatan dihadapkan dengan prasyarat baharu. Kalau mahu bermain atas pentas besar dengan sistem bunyi dan visual yang megah, kalau mahu bermuzik di hadapan ribuan penonton, isi separuh durasi persembahan dengan lagu saduran. 

Lagu sendiri selit sikit-sikit sebab penonton datang bukan untuk itu. 

PERTOLONGAN CEMAS 

Penganjuran gig tribute dan acara menyadur lagu mega akan berterusan. Dahulu mereka kata acara itu hanya suka-suka, hanya beberapa kali tetapi masa membuktikan itu palsu. 

Cuma biarlah artikel ini merakamkan suara penolakan, seperti yang telah dilakukan Farhira Farudin dari Noisy Headspace dan ramai lagi suara-suara kecil dalam media sosial. 

Lapangan muzik independen akan terus wujud selagi ada manusia yang mahu berbeza, kuat wibawa dan meraikan kesalingan. 

Yang berbeza hanya darjah susah senang, meriah-sepi. Semoga muzik tempatan tak mati selepas dibunuh warganya sendiri. Semoga jantungnya terus berdegup, ditekan cemas warganya yang berani.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya