Gemilang Olek Godang dalam pesta konvo USIM

Gemilang Olek Godang dalam pesta konvo USIM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEGERI Sembilan, negeri kaya dengan warisan budaya yang mempesona. Olek Godang, asalnya merupakan sebuah tradisi kebesaran dari negeri tanah beradat ini.

Olek Godang adalah perayaan tradisional yang ditarikan dengan aluan muzik dan diperagakan dengan adat pemakaian.

Ini melambangkan semangat gotong-royong dan keharmonian masyarakat yang mendiami Minangkabau.

Keindahan warisan itu dipersembahkan semasa Pesta Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Kali Ke-21 yang menggabungkan prestij akademik dan warisan budaya.

Ia juga lambang penghormatan terhadap barisan graduan yang telah menamatkan perjalanan ilmiah dan pengajian masing-masing di gedung ilmu ini.

Dalam konteks konvokesyen ini, Penolong Pendaftar Kanan, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), USIM, Mohd. Hazrul Fareeza Harun berkata, Olek Godang mempunyai makna khusus.

Kongsinya, ia mengingatkan golongan graduan mengenai kepentingan memelihara nilai-nilai tradisi segulai sejalai dengan mencapai kecemerlangan akademik sehingga berjaya menamatkan pengajian.

“Olek Godang memartabatkan semangat kebesaran dan kejayaan akademik para graduan.

“Ini adalah satu peringatan kita perlu selalu menghargai dan memelihara nilai-nilai tradisi ketika berusaha mencapai kecemerlangan,” katanya.

Olek Godang dipersembahkan dalam dua fasa. Fasa pertama bermula pada 4 sehingga 24 November lalu.

Bagi fasa kedua pula berlangsung dari 8 Disember sehingga 15 Disember lalu yang dimeriahkan dengan pelbagai acara menggamit memori.

KEMERIAHAN OLEK GODANG

Tidak hanya menjadi satu-satunya universiti di Malaysia yang menyertakan Olek Godang dalam pesta konvokesyen, USIM juga menerima kehadiran penduduk sekitar.

“Ini menunjukkan semangat terbuka universiti untuk memupuk kerjasama dan memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat,” jelasnya.

Pelbagai pertandingan dianjurkan bagi mengisi kalendar aktiviti antaranya pertandingan Video Promosi Olek Godang @ USIM, Pertandingan Khat dan Kaligrafi:The Art of Islam, program berbentuk kesukanan dan kesihatan seperti Pertandingan bola jaring, E-Sport, Penalti.

Bukan itu sahaja, Jawatankuasa Olek Godang juga menyediakan pertandingan kepada ibu-bapa seperti pertandingan mewarna, bancuh teh tarik dan gubahan Bunga.

Olek Godang dimeriahkan dengan Hari Kebudayaan Negeri Sembilan, Battle of Buskers dan juga U N I Can See Your Voice yang tersedia untuk menghiburkan pengunjung serta memberi peluang kepada peserta mempamerkan bakat nyanyian.

Sambutan yang menggalakkan setiap tahun daripada warga universiti dan masyarakat setempat mendorong jawatankuasa penganjur untuk terus komited menjadikan pesta ini sebagai program tahunan yang perlu kekal dilaksanakan.

Sambutan kali ini melambangkan prestij pendidikan USIM bertaut dengan kebesaran tradisi di Negeri Sembilan.

 

oleh FATIM SAHIRA NASMADI dan NADIAH ROSDI

Penulis adalah pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam), Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), USIM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya