Ganti rugi RM300,000: Rayuan Jamal Yunos Mac 2024

Ganti rugi RM300,000: Rayuan Jamal Yunos Mac 2024

JAMAL Md. Yunos
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan penangguhan terakhir rayuan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos terhadap perintah agar beliau membayar ganti rugi RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung kenyataan berbaur fitnah berkaitan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Supang Lian yang bersidang bersama-sama Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dan Datuk Wong Kian Kheong menetapkan rayuan itu didengar pada satu tarikh lain.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar, Nur Adilah Halid pada sesi pengurusan kes menetapkan rayuan didengar pada 27 Mac 2024 manakala pengurusan kes akhir ditetapkan pada 13 Mac.

Terdahulu, peguam Phoon Wai Ken yang mewakili Teresa memaklumkan prosiding bahawa peguam Rejinder Singh yang mewakili Jamal bercuti sakit selama dua hari bermula semalam kerana mengalami jangkitan pada bahagian gigi.

Beliau yang menyebut bagi pihak Rejinder turut mengemukakan salinan cuti sakit daripada fakulti pergigian sebuah hospital kerajaan yang menyatakan peguam itu tidak sihat untuk menjalankan tugas hingga hari ini.

Wai Ken selanjutnya memohon penangguhan agar rayuan didengar pada satu tarikh lain.

“Kami memberi penangguhan terakhir rayuan ini atas alasan peguam perayu tidak hadir dan mendapat cuti sakit selama dua hari,” ujar Hakim Supang.

Hari ini, mahkamah sepatutnya mendengar rayuan Jamal terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkannya membayar ganti rugi
RM300,000 kepada Teresa berhubung kenyataan berbaur fitnah berkaitan dana Yawas.

Pada 26 Julai 2022, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd. Arief Emran Arifin membenarkan tuntutan saman fitnah Teresa terhadap Jamal yang difailkan enam tahun lalu setelah berpuas hati defendan gagal membuktikan pembelaannya.

Mohd. Arief Emran turut memerintahkan membayar ganti keseluruhan meliputi ganti rugi am, teruk dan teladan dalam tempoh 14 hari.

Mahkamah juga mengarahkan defendan membayar kos RM50,000 serta mengeluarkan perintah injunksi yang melarang defendan atau ejennya daripada mengulangi dakwaan itu.

Pada 8 Jun lalu, Teresa selaku plaintif menutup kesnya selepas mengemukakan keterangan dua saksi termasuk dirinya dan wartawan Malaysiakini, Annabelle Lee.

Jamal yang ketika itu tidak diwakili peguam tidak mengemukakan saksi defendan mahupun menyoal balas saksi-saksi plaintif pada perbicaraan tersebut.

Ketika itu, Jamal berkali-kali memohon penangguhan atas alasan beliau memerlukan masa untuk melantik peguam baharu mewakilinya, namun tidak dibenarkan oleh mahkamah.

Pada 29 Mac lalu, satu panel lain Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Jamal menangguhkan perintah ganti rugi RM300,000 dan kos RM50,000 kepada Teresa, sementara menunggu rayuannya diputuskan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Yaacob Md. Sam mengarahkan mendepositkan ganti rugi RM300,000 dalam tempoh 21 hari ke dalam akaun peguam yang mewakili Ahli Parlimen Seputeh itu sementara menunggu rayuan.

Panel berkenaan turut membenarkan tanpa kos permohonan Perbendaharaan Selangor untuk tidak dinamakan sebagai pihak dalam rayuan yang dikemukakan oleh Jamal atas alasan ia tidak pernah dinamakan sebagai pihak dalam tuntutan saman fitnah Teresa.

Teresa memfailkan saman pada 6 April 2017 dengan mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas dalam sidang media pada 8 Mac 2017.

Dalam pernyataan tuntutannya, Teresa mendakwa kenyataan berkenaan telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk dalam laman sosial Facebook milik Jamal.

Teresa mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.

Beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN