Gangguan bekalan air di P. Pinang empat hari Januari depan - Utusan Malaysia

Gangguan bekalan air di P. Pinang empat hari Januari depan

ZAIRIL Khir Johari (kiri) mendengar penerangan daripada K. Pathmanathan mengenai ganguan bekalan air yang bakal dihadapi pengguna pada awal Januari depan dalam sidang akhbar di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kira-kira 590,000 pengguna air di negeri ini termasuk pengguna bukan domestik di semua kawasan perindustrian utama akan mengalami gangguan bekalan air selama empat hari mulai 10 hingga 14 Januari tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari berkata, gangguan selama empat hari itu tidak dapat dielakkan bagi menampung kerja-kerja penggantian injap utama di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, Butterworth, dekat sini.

Katanya, kerja pembaikan paip itu melibatkan penggantian dua unit injap kawalan utama sebesar 1,200 milimeter (mm) dalam saluran paip air terawat utama dalam LRA yang bocor.

“Ini adalah operasi penyelenggaraan utama yang perlu dijalankan.  Sebahagian daripada bahagian ini tidak digantikan selama 50 tahun dan memerlukan penggantian segera.

“Ia sepatutnya telah diganti setahun hingga dua tahun lalu, tetapi kami tidak dapat mencari masa yang sesuai untuk berbuat demikian. Kami tidak ada pilihan selain melakukannya sekarang dan akan memberi notis sebulan kepada rakyat untuk membuat persiapan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sini hari ini yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K. Pathmanathan.

Antara kawasan yang akan terjejas adalah di kawasan Seberang Perai, manakala di bahagian pulau ialah Pulau Tikus; George Town; Jelutong; Gelugor; Bukit Jambul; Relau; Bayan Lepas; Bayan Baru; Batu Maung; Teluk Kumbar dan Balik Pulau.

Namun, kawasan-kawasan seperti Air Itam, Tanjung Bungah, Batu Ferringhi dan Teluk Bahang tidak terjejas kerana kawasan tersebut mendapat bekalan air dari Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

Menurut Zairil, sekiranya kerja-kerja penggantian injap utama itu tidak dilaksanakan, pihaknya bimbang jika terdapat mana-mana bahagian berkenaan mengalami kerosakan secara tiba-tiba.

“Jika kita tidak buat sekarang, dan ada bahagian tiba-tiba rosak, maka kita perlu buat kerja-kerja kecemasan tanpa notis awal, ia akan memberi kesan lebih teruk lagi kepada rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, penutupan bekalan air itu perlu bagi memudahkan kerja-kerja pembaikan yang akan mengambil masa 24 jam pada 10 Januari.

“Selepas itu, bekalan air akan disambung semula secara berperingkat yang mengambil masa 48 jam hingga 96 jam, bergantung kepada kawasan,” katanya.

Zairil berkata, Exco kerajaan negeri telah membincangkan perkara itu dan melantik Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri, Jason H’ng untuk menyelaras penghantaran tangki air ke kawasan terjejas khususnya di bangunan rendah dan tempat lain yang memerlukan bantuan seperti hospital.

”Bagi kilang dan hotel, mereka diwajibkan oleh undang-undang untuk menyimpan bekalan air selama 48 jam. Di kebanyakan bangunan tinggi, terdapat tangki air, kita menyeru rakyat menggunakan air yang ada secara berhemah.

“Pada masa itu juga, kami  menasihatkan pengusaha cuci kereta dan pengusaha kedai dobi supaya menghentikan sementara operasi mereka,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya