GEORGE TOWN: Sebahagian besar kawasan Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) akan menerima semula bekalan air dalam tempoh 24 jam hingga 48 jam selepas kerja-kerja pembaikian Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dijalankan bermula 10 Januari tahun depan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, selepas itu dari tempoh 48 jam ke 72 jam pula, sebahagian besar kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) akan mula menerima bekalan air dan proses itu akan berlanjutan sehingga 96 jam.
“Hari pertama iaitu pada 10 Januari bermula pukul 6 pagi memang semua kawasan terkesan sebab semua kerja pembaikan perlu dilaksanakan dan loji perlu dihentikan operasinya.
“Setelah sempurna kerja pembaikan dan mulanya pengoperasian, air dijangka mula dibekalkan pada hari kedua, ketiga dan keempat seperti dirancang.
“Pada hari kedua iaitu dari 24 jam hingga 48 jam mengikut carta yang dikeluarkan, maka kebanyakan kawasan SPU dan SPT akan menerima bekalan semula dan dari 48 jam ke 72 jam sebahagian besar SPS akan mula menerima air,” katanya di Padang Kota Lama, di sini semalam.
Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 590,000 pengguna air di negeri ini termasuk pengguna bukan domestik di semua kawasan perindustrian utama akan mengalami gangguan bekalan air selama empat hari mulai 10 hingga 14 Januari tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Zairil Khir Johari berkata, gangguan selama empat hari itu tidak dapat dielakkan bagi menampung kerja-kerja penggantian injap utama di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, Butterworth, dekat sini.
Kon Yeow yang juga Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata, dalam tempoh 48 jam dari tarikh 10 Januari depan, kawasan pulau juga akan mula menerima air dan sehingga tempoh 96 jam semua kawasan di pulau dijangka dapat menerima semula bekalan air.
”Dalam tempoh-tempoh ini, semua pengguna diharapkan dapat menyimpan air yang mencukupi di kawasan masing-masing sehingga bekalan air kembali pulih,” katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, semua wakil rakyat di kawasan yang terkesan dengan gangguan bekalan air itu diharapkan dapat bekerjasama dengan pemegang taruh untuk membantu pengguna mendapatkan bekalan air.
”Dalam tempoh gangguan bekalan, kita akan aturkan penghantaran air melalui lori tangki dan PBAPP turut menyediakan lori tangki statik di tempat-tempat yang dikenal pasti.
”Semua wakil rakyat juga diharapkan dapat bekerjasama dengan pemegang taruh untuk pastikan air dapat disimpan di kawasan awam dan digunakan ketika waktu gangguan air berlaku,” katanya. – UTUSAN