Gangguan air; Majoriti pengguna akan terima bekalan air dalam tempoh 72 jam - Utusan Malaysia

Gangguan air; Majoriti pengguna akan terima bekalan air dalam tempoh 72 jam

CHOW Kon Yeow (kanan) dan K. Pathmanathan dalam sidang akhbar mengenai isu gangguan air di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengarahkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memastikan majoriti atau lebih 50 peratus pengguna terjejas mendapat bekalan air dalam tempoh 72 jam ketika gangguan bekalan air berjadual awal Januari depan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau juga telah meminta PBAPP menyalurkan semula bekalan air untuk pengguna bukan domestik yang besar di Batu Kawan; Bukit Minyak; Butterworth; Perai; George Town dan Kawasan Perindustrian Bebas (FTZ) Bayan Lepas dalam jangka masa yang sesingkat mungkin.

”Tindakan ini dirancang berdasarkan maklum balas yang kita terima daripada pelbagai pihak, jadi kita telah meminta PBAPP merancang dan menyelaras pemulihan perkhidmatan bekalan air yang lebih pantas.

”Sebagai tindak balas, pasukan PBAPP merancang memulihkan perkhidmatan bekalan air secara beransur-ansur untuk 590,000 pengguna terjejas secara berperingkat, dalam jangka masa antara 48 jam hingga 96 jam.

”Matlamat keseluruhan adalah untuk memastikan majoriti atau lebih daripada 50 peratus pengguna terjejas mendapat bekalan air dalam tempoh 72 jam,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, di sini hari ini.

Yang turut hadir; Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K. Pathmanathan.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 590,000 pengguna air di negeri ini termasuk pengguna bukan domestik di semua kawasan perindustrian utama akan mengalami gangguan bekalan air selama empat hari mulai 10 hingga 14 Januari depan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, dalam tempoh gangguan bekalan air yang dijadualkan, PBAPP akan mengerahkan 55 lori tangki air untuk mengangkut air mengikut jadual tetap kepada pengguna yang terjejas.

”PBAPP masih mendapatkan bantuan operator air negeri lain untuk menghantar lebih banyak lori tangki air ke Pulau Pinang.

“Sebanyak 60 tangki air statik juga akan dipasang di kawasan sasaran bagi membantu memenuhi keperluan air pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, Pathmanathan berkata, bagi sektor perkilangan adalah menjadi keperluan pihak pemilik kilang untuk memastikan mereka menyimpan air untuk kegunaan selama 48 jam.

”PBAPP mengambil insiatif membuat hebahan mengenai gangguan bekalan air ini dengan lebih awal agar semua pihak termasuk industri perkilangan bersedia dengan menyimpan air dengan lebih banyak bagi kegunaan mereka.

“Sekiranya pihak kilang membantu kita dengan menggunakan air yang disimpan sendiri, proses pemulihan bekalan akan berlaku dengan lebih cepat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN