Tujuh didenda RM2,000 setiap seorang

Gaduh di Stadium MBPJ: Tujuh didenda RM2,000 setiap seorang

SEKUMPULAN lelaki yang terbabit dalam pergaduhan di luar Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebelum aksi Liga Super antara Selangor FC dan Perak pada sabtu lalu diiringi anggota polis untuk didakwa di mahkamah majistret di sini, hari ini. -UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tujuh lelaki didenda RM2,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan berhimpun secara salah dan merosakkan sebuah kereta di parkir Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebelum aksi Liga Super antara Selangor FC dan Perak FC, Sabtu lalu.

Tujuh lelaki berkenaan ialah Muhamad Ainol Syukri Shariff, 28; Mohammad Hariz Suhaimi, 36;  Norbadrul Amin Norazman, 27; Muhammad Ezwan Shah Mustapa Kamal, 24; Muhammad Othman Abd Rahim, 21; Muhammad Husaini Hamdi Azizi, 21, dan Azizi Abu Hassan, 36.

Majistret Nur Natasya Mohtarudin turut memerintah semua tertuduh itu dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa pada pukul 4.50 petang, 25 November lalu, mendatangkan kerosakan terhadap sebuah kereta jenis Honda FD milik seorang lelaki berusia 22 tahun mengakibatkan mangsa mengalami kerugian melebihi RM15,000.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 149 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun atau tidak melebihi lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Turut didakwa atas pertuduhan sama ialah Muhammad Afiq Azman, 29, dan Muhamad Taufiq Nasharudin, 30. Kedua-dua lelaki itu bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mahkamah membenarkan Muhammad Afiq dan Muhamad Taufiq diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin setiap seorang dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 31 Januari 2024.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Khairun Nisa Noor manakala Muhamad Ainol, Mohammad Hariz, Azizi, Muhammad Afiq dan Muhamad Taufiq diwakili peguam bela, Ainul Farihah Azizi sementara empat lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 26 November lalu, media melaporkan, seramai 23 individu termasuk remaja berusia belasan tahun ditahan selepas disyaki terlibat pergaduhan antara penyokong pasukan bola sepak Perak FC dan Selangor FC di stadium MBPJ di sini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis menahan 23 orang disyaki terbabit kejadian memukul lima penyokong pasukan Selangor yang berlaku beberapa minit sebelum perlawanan tersebut menyebabkan salah seorang mangsa mengalami kecederaan patah tangan.

Menurut Hussein, siasatan mendapati kumpulan itu turut disyaki merosakkan empat kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir bersebelahan stadium. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN