JOHOR BAHRU : Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) memberi perhatian serius terhadap potensi nanas di Sarawak dan menjadikan projek pengembangan nanas di Bumi Kenyalang itu sebagai suatu keutamaan.
Pengerusinya, Sheikh Umar Ali berkata, Sarawak memiliki sumber kekayaan tanah yang masih luas berbanding semenanjung bahkan sekitar 2.8 juta hektar tanah di negeri itu telah dikenal pasti sebagai tanah berpotensi untuk tujuan pertanian.
Justeru, katanya, nanas boleh menjadi salah satu pilihan utama kerana kesesuaian kedua-dua tanah gambut dan mineral yang wujud di Sarawak, nanas boleh dikembangkan pada kadar yang segera.
“Faktor lain menyumbang kepada kejayaan industri nanas di Sarawak adalah kerana mereka memiliki hala tuju kepimpinan yang jelas dengan visi serta misi yang hendak dicapai dalam industri nanas.
“Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg sendiri telah mengumumkan sasaran pengembangan sehingga 20,000 hektar tanaman nanas di Sarawak menjelang tahun 2030.
“Bagi mencapai sasaran itu, purata kadar peningkatan bagi tanaman nanas di Sarawak hendaklah digandakan menjadi 14 peratus setahun, LPNM Sarawak akan terus fokus bagi merealisasikan hasrat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengikut rekod, keluasan bertanam nanas di Sarawak ketika ini hasil bimbingan LPNM negeri adalah berjumlah 3,000 hektar yang menunjukkan purata kadar peningkatan sekitar 7.6 peratus setahun.
Sheikh Umar berkata, Sarawak memiliki varieti baharu nanas iaitu Sarawak Gold 1 atau SG1 yang dijangka mampu segera melonjakkan industri nanas di Sarawak.
Katanya, antara kelebihan varieti itu adalah masa tuaian yang lebih singkat iaitu sembilan bulan serta kemampuan kepadatan tanaman yang tinggi pada kadar minimum 22,000 pokok/ekar.
“Saya telah mengarahkan agar LPNM memberikan perhatian serius terhadap potensi nanas di Sarawak dan menjadikan projek pengembangan nanas di Sarawak sebagai suatu keutamaan.
“Saya turut meminta agar satu Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) diwujudkan segera bersama pemegang taruh industri agar proses pengembangan nanas di Sarawak dapat diperincikan dan diambil tindakan sewajarnya,” ujarnya.- UTUSAN