KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengesyorkan filem bebas atau independen bertajuk ‘Pendatang’ perlu ditayangkan di sekolah.
Pengerusinya, Datuk Kamil Othman berkata, filem seperti itu diyakini dapat menggalakkan perbincangan yang bermakna.
“(Filem Pendatang) harus ditayang di sekolah untuk mengundang perbincangan, membongkar persepsi dan prasangka yang mendalam.
“Langkah-langkah kecil menuju destinasi yang diingini,” katanya di aplikasi X semalam.
‘Pendatang’ ialah thriller dystopian yang berlatarkan Malaysia versi fiksyen apabila kaum yang berbeza tidak dibenarkan bergaul dengan kuat kuasa undang-undang zalim.
Filem itu ditayangkan di Youtube yang mana difahamkan, pendekatan tersebut sengaja diambil untuk mengelakkan kebimbangan mengenai penapisan filem oleh pihak berkuasa.
Kisahnya bermula apabila sebuah keluarga Cina berpindah ke rumah baharu mereka dan mendapati seorang gadis Melayu bersembunyi di situ.
Keadaan itu meletakkan mereka dalam masalah moral sama ada untuk mengusir dan membahayakannya atau membahayakan diri mereka sendiri serta menyeludupnya kembali ke kawasan ‘Melayu’.
Sementara itu, menjengah ruangan komen, Kamil ditanya sama ada tayangan filem itu akan mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF).
Katanya: “(Saya) tidak boleh bercakap bagi pihak LPF, tetapi melihat filem itu secara objektif, beberapa kelonggaran mungkin boleh dilakukan.” – UTUSAN