Festival perahu naga P. Pinang tahun ini catat penyertaan tertinggi  - Utusan Malaysia

Festival perahu naga P. Pinang tahun ini catat penyertaan tertinggi 

AHMAD FUZI Abdul Razak (tengah) bersama para pemenang Regatta Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang (PIDBR) 2023, di Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BALIK PULAU: Regatta Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang (PIDBR) 2023 yang melabuhkan tirainya semalam mencatatkan rekod baharu dengan jumlah penyertaan tertinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, sebanyak 60 pasukan daripada 14 negara menyertai PIDBR 2023 kali ini, berbanding 42 pasukan dari tujuh negara tahun lalu.

”Tahun ini mencatatkan rekod baharu buat PIDBR yang mana terdapat 60 pasukan termasuk dari luar negara menyertainya.

”PIDBR 2023 ini bukan sekadar acara sukan tetapi juga umpama festival pertukaran budaya di mana peserta daripada pelbagai negara telah mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi melalui persaingan sengit dan interaksi mesra antara pasukan-pasukan yang bertanding,” katanya dalam ucapan penutup PIDBR 2023 di Empangan Teluk Bahang, di sini semalam.

Yang turut hadir menyaksikan majlis penutup dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Pada PIDBR 2023 kali ini, pasukan wakil Malaysia, Pasific West memperoleh tempat ketiga dalam kategori utama, manakala pasukan dari Filipina memperoleh tempat kedua dan pasukan dari Thailand iaitu Thailand Dragon menjadi juara.

Menurut Hong Wai, sepanjang dua hari pertandingan itu berlangsung, semua pihak telah menunjukkan semangat yang tidak berbelah-bahagi serta komitmen tinggi daripada setiap pasukan.

”Semangat kesukanan dan keazaman ini adalah khazanah paling berharga yang kami perolehi daripada acara ini,” katanya.

Sementara itu, jurulatih pasukan Thailand Dragon, C. Vinya berkata, pasukannya akan kembali ke Pulau Pinang tahun depan untuk menyertai semula PIDBR 2024.

“Kami gembira kerana latihan berbulan-bulan sebelum acara ini akhirnya mendapat ganjaran. Kami pertama kali memenangi pertandingan di Pulau Pinang pada 2010, diikuti satu lagi kemenangan pada 2019.

”Kami telah meletakkan harapan tinggi untuk pulang dengan kemenangan dan berjaya melakukannya, pasukan kami berbangga dengan kemenangan tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya