Fahaman ASWJ pelindung ancaman akidah songsang - Utusan Malaysia

Fahaman ASWJ pelindung ancaman akidah songsang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ancaman gerakan akidah sesat dan songsang yang bertentangan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) perlu ditangani secara bersepadu.
Pendukung ASWJ di negara ini perlu tampil sebagai pelindung bagi menghadapi ancaman fahaman itu yang dibawa pihak tertentu.
Timbalan Pengerusi Ikatan Ilmuan ASWJ Pahang, Yunan Abdul Samad berkata, pejuang ASWJ perlu segera bangkit sebagai penyelamat daripada akidah sesat yang melanda umat Islam pada ketika ini.
Tegasnya, fahaman ASWJ bukan sahaja perlu dilindungi tetapi perlu ada usaha bersepadu para asatizah dan ulama sebagai benteng menangkis sebaran ajaran yang merosakkan akidah.
“Ekoran itu, pejuang ASWJ perlu menjadi barisan hadapan memantau kegiatan penceramah ekstrem yang menjadikan media sosial sebagai medium penyebaran fahaman sesat dan menyalahi fahaman ASWJ.
“Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya langkah meningkatkan kefahaman tentang akidah ASWJ sangat menepati dan disanjung tinggi,” katanya.
Baru-baru ini, Sultan Nazrin bertitah, langkah meningkatkan kefahaman tentang akidah ASWJ adalah usaha penting untuk memastikan keharmonian ummah terjamin, selain melengkapkan ummah dengan fahaman yang jelas agar lebih bersedia menghadapi ancaman kemunculan ajaran sesat dan aliran pemikiran janggal.
Baginda bertitah, kemunculan golongan itu pada hakikatnya membawa ajaran menyeleweng dan tafsiran yang menyimpang daripada landasan Islam.
“Oleh itu, ummah wajib memastikan pegangan ASWJ dilindungi, dipelihara, difahami dan dihayati,” titah baginda ketika perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, baru-baru ini.
Yunan berkata, titah Sultan Perak itu adalah manifestasi kebimbangan baginda terhadap cabaran fahaman hebat ASWJ yang disaingi gerakan yang bertentangan dengan fahaman ASWJ.
Beliau berkata, pejuang dan pendakwah berwibawa serta berintegriti perlu proaktif mengukuhkan kefahaman orang ramai dan hanya perlu berpegang ajaran Islam yang berasaskan ASWJ dari segi aqidah, syariah serta akhlak.
“Malaysia adalah negara Islam yang berteraskan dasar ASWJ. yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Menurutnya, fahaman lain selain ASWJ seperti Wahabi dan Syiah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam.
Tambahnya, dalam dunia yang semakin berkembang pesat, umat Islam sentiasa dicabar dengan aliran akidah yang terkeluar daripada ASWJ.
Oleh itu ujarnya, program seperti Liqa’ Perdana Ilmuwan ASWJ perlu giat dianjurkan untuk mengeratkan silaturahim sesama ilmuwan.
Program sedemikian dapat memperkasakan mahabbah dan kecintaan terhadap Rasulullah SAW selain melestarikan kesatuan ulama dan umara, katanya.

YUNAN ABDUL SAMAD

Latar belakang Pendidikan
1. Sekolah Menengah Agama (SMA) Pulau Tawar Jerantut (1983-1987).
2. Kuliah Tinggi Agama Sultan Abu Bakar Pekan (1988-1990).
3. Sarjana Muda Syariah- Politik dan Pentadbiran Universiti Malaya (1992-1995).
4. Master Kaunseling Universiti Putra (1998 -1999).
5. Daurah Musim Panas di Darul Mustafa Hadhromaut Yaman.(2010).

Pengalaman
1. Timbalan Pengerusi ISLAMI Pahang
2. Timbalan Gabungan Masjid Wilayah Jengka
3. Felo ISSI Malaysia
4. Bekas Kaunselor Berdaftar Universiti Malaysia Pahang (UMP)
5. Bekas Timbalan PEMBELA Pahang
6. Bekas Pensyarah Institut Bina Usahawan Kuantan
7. Bekas Guru Penolong Kanan SMA Al Irshad Kuantan
8. Penceramah di Radio IKIM, RTM Pahang dan masjid di sekitar Pahang
9. Pegawai Khas Hal Ehwal Agama Islam Kepada Menteri Besar Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN