Fadillah seru masyarakat teru bina negara

Fadillah seru masyarakat terus membina negara stabil, komited selesaikan isu MA63

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Pelantikan kementerian baharu, penyusunan semula bidang tugas di kementerian sedia ada dan pertukaran portfolio diyakini mampu memacu setiap rancangan mahupun agenda yang telah disusun rapi oleh kerajaan Madani demi kesejahteraan rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurut beliau, rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, bukan sekadar bertujuan mengisi kekosongan, tetapi lebih dilihat kepada ke arah memperkasakan lagi gerak kerja dan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Dalam membuat pertimbangan penyusunan semula kabinet kepentingan negara dan politik yang stabil tentunya menjadi keutamaan Perdana Menteri.

“Ini amat penting kerana untuk kita mengerakkan dan memperkukuhkan ekonomi, asas utama adalah kedatangan pelabur serta politik yang stabil,” katanya.

Justeru itu, Fadillah percaya Perdana Menteri telah menilai dengan teliti, kesesuaian setiap Menteri dan portfolio yang diamanahkan berdasarkan pengetahuan serta kemahiran masing-masing, selepas melakukan pemantauan rapi sepanjang setahun Kerajaan Perpaduan.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, kerana terus memberi kepercayaan kepada saya untuk menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan memberikan kepercayaan untuk saya menerajui kementerian baharu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Menteri Bertanggungjawab Terhadap Hal Ehwal Sabah Sarawak.

“Seperti juga sepanjang setahun bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi dan dua penggal di Kementerian Kerja Raya sebelumnya, saya berikrar akan melakukan sebaik mungkin dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab di kementerian baharu ini,” jelas Fadillah.

Dalam hal itu, Fadillah beri jaminan berkaitan Hal Ehwal Sabah Sarawak keutamaan akan beliau berikan kepada meneruskan usaha menyelesaikan segera isu-isu tertunggak dan meletakkan MA63 ditempat sepatutnya, sekali gus merapatkan lagi jurang fizikal, ekonomi dan sosial antara Sarawak dan Sabah dengan Semenanjung.

“Kepada semua peringkat dari pengurusan tertinggi, pegawai dan warga kerja KPK saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kerjasama terbaik dan komitmen penuh yang diberikan sepanjang saya menerajui KPK.

“Berikanlah kerjasama serupa kepada pengganti saya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani selepas ini.

“Saya juga ingin mengajak semua barisan Kabinet yang baru diumumkan untuk terus fokus bekerja demi rakyat dan negara serta memperkukuhkan lagi ikatan perpaduan dalam Kerajaan Madani dalam mendepani tahun 2024 dan tahun-tahun seterusnya yang dijangka akan lebih mencabar,” ujarnya.

Sehubungan itu, Fadillah mengajak tanpa mengira bangsa, agama dan merentasi fahaman politik.

“Semoga kita dapat bersama-sama membina Malaysia Madani yang stabil, maju dan makmur berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara,” tegasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya