SHAH ALAM: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bertekad meneruskan pemerkasaan dasar dan mutu pendidikan negara termasuk meningkatkan jumlah pemegang taruh sedia ada.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi keyakinan untuk dirinya kekal menerajui Kementerian Pendidikan (KPM) dan menganggapnya sebagai amanah yang cukup berat.
“Iltizam kita (KPM) sudah dibuktikan secara bersungguh-sungguh bagi memastikan agenda pendidikan negara terus diangkat.
“Ia termasuk merangka kurikulum 2027, pengukuhan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan diskusi meja bulat yang turut melibatkan pelbagai pemegang taruh sektor tersebut,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), semalam.
Pada program tersebut beliau dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara STDC dan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) KPM yang memfokuskan pembangunan tenaga mahir profesional dalam teknologi tinggi semasa dan masa depan.
Terdahulu, Perdana Menteri, Anwar mengumumkan jumlah menteri dalam pentadbiran kerajaan kini meningkat kepada 31 berbanding 28 orang sebelum ini.
Dalam pada itu, kata Fadhlina, beliau amat mengalukan kehadiran timbalannya yang baharu, Wong Kah Woh dalam KPM.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Lim Hui Ying (bekas Timbalan) atas jasa membantu kementerian dalam tempoh setahun ini,” ujarnya. – UTUSAN