PETALING JAYA: Hadiah lumayan hampir RM30,000 bakal menjadi rebutan untuk pemenang Kejohanan Enrich Sports Game yang dijadualkan berlangsung pada 10 Disember ini di Bunga Kemboja Fitness Seri Kembangan, Selangor.
Acara yang akan berlangsung selama sehari itu dijangka menjadi festival sukan terbesar dengan disertai peserta pelbagai kategori dan peringkat umur.
Menurut penganjurnya, Krishna Kumar berkata, kejohanan itu akan melibatkan beberapa acara seperti Strongest Man, Arm Wrestling, Zumba dan Cabaran Kecergasan serta pertandingan makan burger diet terbanyak dalam masa lima minit dengan menyasarkan seramai 300 peserta.
Beliau berkata, penganjuran kejohanan itu merupakan edisi ketiga sebelum terpaksa dihentikan selama tiga tahun gara-gara pandemik Covid-19 pada 2020.
“Tujuan utama kejohanan ini diadakan adalah untuk membina ruang bagi semua peserta menunjukkan bakat mereka secara individu di dalam sukan yang tersenarai serta menggalakkan lebih ramai bakat baharu untuk mengambil bahagian.
“Pada masa sama, kami mahu mengembangkan bakat bagi peserta yang layak untuk terlibat di dalam penyertaan ke peringkat lebih tinggi untuk mewakili negeri dan negara pada masa akan datang.
“Kami juga mahu menggalakkan para belia supaya terlibat dalam aktiviti sukan serta mengamalkan gaya hidup sihat dan berdisiplin agar dapat mengelakkan diri daripada terlibat atau terdedah kepada aktiviti tidak sihat dari segi mental dan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kejohanan Enrich Sports Game merupakan anjuran kerjasama antara Kelab Bina Badan Enrich (KBBE) bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Mengulas lanjut, Kumar memberitahu, kejohanan itu berhasrat menarik perhatian masyarakat untuk mengetahui tentang sukan bina badan serta menggalakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat swasta untuk memberi sokongan penuh kepada sukan yang kurang mendapat perhatian.
Katanya, penglibatan peserta dalam acara sukan seperti Strongest Man, Arm Wrestling Zurmba dan Cabaran Kesihatan diharap dapat membuka peluang bagi mereka untuk menjadi duta syarikat produk kecergasan pada masa akan datang.
Ujar beliau, kejohanan ini juga mahu memberi kesedaran kepada masyarakat yang terdiri dari pelbagai bangsa tentang kepentingan bersenam demi mendapatkan tubuh badan yang sihat dan kekal cergas.
“Program ini juga akan memberi pendedahan kepada pengunjung berkenaan disiplin-disiplin yang diterapkan oleh peserta ketika bertanding yang memerlukan penekanan dari segi fizikal dan juga mental yang betul.
“Justeru, penglibatan bersama kerajaan menunjukkan usaha positif agar dapat melahirkan masyarakat yang sihat tubuh badan di samping mendidik setiap lapísan masyarakat terutamanya generasi muda untuk mengamalkan budaya hidup sihat dan lebih proaktif,” katanya.
Sementara itu, yuran penyertaan bagi Kejohanan Enrich Sports Game adalah RM25 bagi dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak. – UTUSAN