MERSING: Seramai enam orang pelancong yang terkandas di Pulau Rawa akibat cuaca buruk monsun timur laut berjaya diselamatkan dan dibawa keluar dari Pulau berkenaan.
Pengarah Maritim Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, bot ronda Maritim Malaysia PERKASA 31 yang sedang dalam rutin OP JAKSA diarahkan ke lokasi bantuan setelah menerima aduan daripada pengusaha resort pulau tersebut pada pukul 7.44 pagi.
Katanya, bantuan aset tersebut telah berjaya memindahkan enam pelancong terdiri daripada dua pelancong dari negara Perancis, dua daripada Singapura dan dua pelancong tempatan berumur lingkungan 35 sehingga 60 tahun ke Jeti Awam Syahbandar, Mersing.
“Walaupun dalam keadaan hujan lebat dan laut yang bergelora, bot ronda Maritim Malaysia itu berjaya menghantar kesemua pelancong yang terkandas ke jeti awam Syahbandar Mersing pada pukul 9.45 pagi tadi.
“Kesemua pelancong yang dipindahkan berada dalam keadaan baik dan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, Maritim Malaysia memperingatkan kepada semua komuniti maritim sentiasa berwaspada ketika Monsun Timur Laut.
Katanya, fenomena pasang besar diramalkan bermula 19 November hingga 31 Disember ini amat berbahaya kepada semua aktiviti di persisir pantai dan juga lautan.
Menurutnya, sebarang aduan kecemasan dan aduan keselamatan dilaut segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404. – UTUSAN