Empat sekawan cemas kenderaan dinaiki nyaris hanyut dibawa arus banjir - Utusan Malaysia

Empat sekawan cemas kenderaan dinaiki nyaris hanyut dibawa arus banjir

ABDULLAH A. Rahman (kanan) bersama Tengku Mahari Tengku Chik (kiri) dan dua lagi kenalan dibantu penduduk kampung selepas kenderaan dinaiki terkandas di Kampung Pengkalan Ajal, Ajil, Hulu Terengganu, hari ini. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Tengku Mahari Tengku Chik bersama tiga kenalan berdepan detik cemas setelah kenderaan dinaiki mereka
nyaris hanyut dibawa arus banjirj tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari di Kampung Pengkalan Ajal, Ajil di sini, beliau yang memandu Toyota Hilux dalam perjalanan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Gunung Menerong, dekat sini, yang dilanda banjir.

Turut menaiki kenderaan bersama beliau ialah Setiausaha UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, Abdullah A. Rahman, Ketua UMNO Cawangan Pekan Ajil, Tahar Muda dan kenalan mereka, Zukifli Ismail.

Menurut Abdullah, ketika sedang melalui kawasan jalan ditenggelami air sedalam lebih  satu meter tiba-tiba kenderaan dinaiki mereka dirasakan terapung dan dibawa arus.

“Kami segera keluar melalui tingkat untuk naik ke atas bumbung bagi selamatkan diri. Cemas juga seketika tetapi semua kembali tenang apabila kenderaan tidak lagi bergerak selepas itu.

“Hasrat untuk terjun juga dibatalkan setelah keadaan didapati selamat. Orang kampung kemudiannya datang membantu dan menyelamat.

“Lebih kurang setengah jam kemudian kenderaan serta kami selamat dibawa keluar. Syukurlah semuanya selamat cuma rasa sedikit ralat kerana hasrat santuni mangsa banjir hari ini tidak kesampaian,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Abdullah, berdasarkan perancangan mereka ingin ke PPSK Felcra Gunung Menerong di Kampung Menerong serta Kampung Lubuk Periuk serta Kampung Peneh yang turut dilanda banjir.

“Sebelum ini, kenderaan pacuan empat roda tersebut boleh melalui kawasan berkenaan pada paras air sedemikian namun hari ini terkandas.

“Mungkin disebabkan arus begitu deras selain air mendadak naik ekoran limpahan sungai,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN