PETALING JAYA: Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah mempersiap semua empangan skim hidroelektriknya di Cameron Highlands, Pahang; Sungai Perak, Perak dan Tasik Kenyir di terengganu bagi menghadapi impak Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco), Ir. Muhamad Nazri Pazil berkata, langkah itu bagi memastikan empangan dapat berfungsi dengan baik bagi menakung kapasiti air yang dijangka meningkat pada musim tengkujuh.
“Langkah-langkah ini juga bagi memastikan empangan dapat berfungsi dengan baik bukan sahaja sebagai penjana tenaga hidro tetapi membantu usaha penebatan banjir,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhamad Nazri berkata, TNB mengadakan beberapa siri taklimat persediaan kepada pemegang taruh dan penduduk setempat, di samping latih amal simulasi kecemasan bersama agensi-agensi kerajaan yang terlibat dengan pengurusan bencana seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Negeri.
“Selain menjana elektrik, empangan-empangan hidroelektrik milik TNB turut berfungsi sebagai tebatan banjir.
“Dengan kapasiti menakung air di hulu sungai, empangan-empangan kami dapat mengelakkan bencana lebih besar daripada berlaku di kawasan hilir setiap kali musim tengkujuh tiba,” katanya.
Mengulas mengenai operasi Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) Kenyir, Terengganu yang dilanda banjir besar pada awal tahun lalu, Nazri menjelaskan bahawa kerja-kerja pemulihan berjalan lancar bagi mengurangkan risiko tanah runtuh.
“Struktur Empangan Kenyir didapati kekal kukuh dan selamat oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui pasukan penilaian “Flying Squad” dalam laporan bertarikh Ogos 2022,” katanya.
Selain itu, katanya, Penilaian Keselamatan Empangan (Dam Safety Review) oleh pakar empangan bebas dilaksanakan setiap lima tahun yang selaras dengan garis panduan antarabangsa International Commission on Large Dam (ICOLD) yang mana pakar- pakar empangan dilantik untuk memeriksa dan menilai keadaan integriti empangan dan struktur yang berkaitan. – UTUSAN