KOTA KINABALU: “Ella ingin menunaikan permintaan peminat yang berada di Sabah. Nak datang selalu mustahil, jadi ini masanya untuk kita berjumpa (peminat) dan buat sehabis baik,”.
Demikian kata ratu rock negara, Ella mengenai konsert sulungnya di Sabah selepas 35 tahun berada dalam industri hiburan tanah air.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu hit Sembilu itu berasa cukup dekat dengan peminat Sabah kerana penghargaan yang diberikan oleh peminat di negeri ini cukup menyentuh hati.
Katanya, Kota Kinabalu juga begitu dekat dihatinya kerana di sinilah lokasi beliau dan suaminya, Azhar Ghazali menyemai cinta semasa awal-awal perkenalan mereka. Itu membuatkan ibu negeri Sabah itu amat istimewa dihatinya.
Menerusi konsert jelajah Jilid Akhir: Ella Puteri Kota’edisi Kota Kinabalu, Ella akan mengubati kerinduan peminat di Sabah dengan mendendangkan kira-kira 25 buah lagu semasa konsert yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 20 Januari 2024.
Walaupun sebelum ini Ella sudah beberapa kali berkunjung ke Sabah bagi mengadakan persembahan namun, ini adalah konsert pertama secara besar-besaran akan diadakan di negeri ini.
“Apa yang pasti, memang akan ada kejutan buat peminat. Kali ini kita akan buat sesuatu yang istimewa untuk Sabah kerana sebelum ini kita dah buat sesuatu yang special di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur jadi, di Kota Kinabalu pun akan ada yang special,” katanya semasa sidang akhbar sempena konsert jelajah Jilid Akhir: Ella Puteri Kota Ahad lalu.
Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 57, berkata, pemilihan lagu-lagu yang akan dipersembahan adalah sama seperti dua konsert sebelum ini namun, susunan lagu dan muzik mungkin berbeza. Mungkin ada susunan muzik yang baharu di bawah bimbingan pengarah muzik terkemuka, Datuk Acis.
Menurutnya, ada permintaan pelbagai lagu daripada peminat maka, beliau akan menyediakan senarai lagu mengikut permintaan peminat dan suara majoriti.
Menyentuh tentang siri promosi konsert, Ella berkata, promosi konsert di Sabah lebih banyak kepada promosi fizikal berbanding online.
“Setakat ini penjualan tiket dengan kerjasama Hitman Solutions agak baik namun, di Sabah kita perlu menggunakan pendekatan berbeza, perlu mengadakan jualan tiket secara fizikal.
“Justeru, kita sedang dalam perancangan untuk mengadakan siri promosi di beberapa daerah lain di Sabah. Kalau boleh kita nak reach (jangkau) semua peminat Ella yang berada di Sabah,” katanya.
Untuk konsert sulung Ella di Sabah, mereka menyasarkan kehadiran 6,000 hingga 8,000 peminat akan membanjiri SICC. Jualan tiket telah dibuka bermula 9 November lalu menerusi www.hitmanlive.com.