IPOH: Seorang ejen insurans berusia 46 tahun berputih mata apabila kerugian RM333,600 setelah menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud melalui laman sosial.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, penipuan bermula pada 15 Oktober lalu selepas lelaki itu berkenalan dengan seorang wanita dikenali sebagai Eva di sebuah medan selera di Taman Canning.
Katanya, wanita terbabit memperdaya mangsa untuk membuat pelaburan melalui aplikasi ‘Bain Online’.
“Bagi tempoh 19 Oktober sehingga 12 Disember lalu, mangsa dari Taman Pari itu telah memasukkan dana sebanyak 12 kali ke lima akaun bank berlainan berjumlah RM333,600.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas dia dikehendaki membuat bayaran komisyen sebanyak RM57,400 jika mahu mengeluarkan wang keuntungan pelaburan,” katanya di sini.
Menurut beliau, laporan polis telah dibuat mangsa dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sementara itu, Mohd. Yusri menasihati orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran pelaburan dalam platform media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah khususnya melalui aplikasi pelaburan yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
“Orang ramai juga boleh menghubungi talian Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) 997 jika menjadi mangsa penipuan tidak wujud dan telah membuat traksaksi ke akaun keldai,” katanya. – UTUSAN